15.03.26 Pembangunan infrastruktur, perkhidmatan awam asas pembangunan negara

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. – Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2026/2027 dilihat sebagai tempoh penting dalam usaha merealisasikan Wawasan Brunei 2035 khususnya apabila ia merupakan sebahagian daripada perancangan fiskal lima tahun terakhir menuju sasaran tersebut.

Perkara demikian dinyatakan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat, dalam Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun Kewangan 2026/2027 pada hari keempat Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Menurut Yang Berhormat, apa yang juga jelas daripada pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan petang semalam ialah bahawa kerajaan terus memberi penekanan kepada pengukuhan asas ekonomi negara dengan peningkatan kesejahteraan rakyat serta pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam sebagai pemacu utama pembangunan negara.

“Sebagai wakil daerah, kaola melihat pendekatan ini amat penting kerana pembangunan negara pada akhirnya akan diukur bukan saja melalui angka pertumbuhan ekonomi tetapi juga melalui sejauh mana rakyat di peringkat masyarakat dapat menikmati manfaat pembangunan tersebut,” ujar Yang Berhormat.

Dalam pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan, terang Yang Berhormat, telah ditegaskan bahawa usaha mempelbagai ekonomi negara akan terus diperkukuh melalui pelaburan strategik serta pembangunan sektor-sektor yang mempunyai potensi untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Yang Berhormat berpendapat bahawa usaha tersebut sangat signifikan kerana keadaan ekonomi global yang tidak menentu, dan negara perlu terus memastikan bahawa asas ekonominya sentiasa kukuh dan berdaya tahan.

Namun pada masa yang sama, usaha pembangunan ekonomi ini tambahnya, juga perlu memastikan bahawa manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat secara lebih meluas termasuk di kawasan-kawasan penempatan dan daerah-daerah di seluruh negara.

“Kaola sering mendengar harapan masyarakat supaya pembangunan negara bukan saja tertumpu kepada pusat-pusat ekonomi tertentu tetapi turut memberikan peluang kepada masyarakat di pelbagai kawasan untuk turut serta dalam aktiviti ekonomi negara.

“Selain daripada itu, kaola juga mengambil maklum bahawa Rang Undang-Undang Perbekalan tahun ini memberikan penekanan kepada kepentingan penyediaan kemudahan asas dan infrastruktur yang berkualiti sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Perkara ini sangat penting kerana kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, tenaga dan kemudahan awam merupakan antara faktor utama yang menyokong kesejahteraan hidup masyarakat,” jelas Yang Berhormat.

Sebagai wakil daerah, Yang Berhormat melihat secara langsung bahawa kemudahan sedemikian memainkan peranan yang besar dalam memastikan kehidupan masyarakat di kawasan-kawasan penempatan dapat berjalan dengan lebih selesa dan teratur.

“Dalam hubungan ini kaola mengambil maklum bahawa melalui peruntukan wang kemajuan, kerajaan telah merancang pelbagai projek pembangunan yang bertujuan meningkatkan kemudahan kepada rakyat.

“Sebagai contoh, Projek Perumahan Negara Kampung Tanah Jambu Fasa 7 yang sedang dilaksanakan akan menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat untuk memiliki tempat kediaman sendiri.

“Pada pandangan kaola, penyediaan perumahan seperti ini amat penting kerana rumah merupakan antara keperluan asas yang sangat signifikan dalam kehidupan rakyat.

“Dengan adanya peluang untuk memiliki tempat kediaman sendiri, ia bukan saja memberikan keselesaan kepada keluarga bahkan turut membantu membentuk komuniti yang lebih stabil dan harmoni,” ujar Yang Berhormat lagi.

Di samping itu, Yang Berhormat juga mengambil maklum mengenai pembinaan masjid baharu di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba, RPN Kampung Lumut dan RPN Kampung Lugu yang akan memberikan kemudahan ibadat yang lebih selesa kepada penduduk di kawasan-kawasan tersebut.

Bagi masyarakat setempat, masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat dan penyebaran Syiar Islam tetapi juga menjadi pusat kegiatan masyarakat yang memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim serta nilai-nilai kemasyarakatan.

Selain daripada projek-projek yang berkaitan dengan kesejahteraan masyarakat, Yang Berhormat turut mengambil maklum bahawa pembentangan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II turut menyebut beberapa projek infrastruktur yang bertujuan menyokong perkembangan ekonomi negara.

Antaranya ialah projek pembinaan jejambat di persimpangan Lebuhraya Muara-Tutong di Kawasan Perindustrian Tanjung Kajar.

“Pada pandangan kaola, projek seperti ini amat penting kerana infrastruktur jalan raya yang baik bukan saja memudahkan pergerakan orang ramai bahkan turut memainkan peranan besar dalam menyokong perkembangan aktiviti ekonomi dan perusahaan.

“Dalam masa yang sama kaola juga mengambil maklum mengenai projek menaiktaraf sistem bekalan air termasuk penggantian paip-paip serta penambahbaikan loji rawatan air bagi meningkatkan akses kepada bekalan air bersih. Kemudahan seperti ini sangat signifikan kerana bekalan air bersih merupakan antara keperluan asas yang memberi kesan secara langsung kepada kesejahteraan kehidupan masyarakat,” ujar Yang Berhormat.

Secara keseluruhannya, Yang Berhormat melihat bahawa Rang Undang-Undang Perbekalan serta projek-projek pembangunan yang dirancang melalui Kumpulanwang Kemajuan ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan pembangunan negara terus bergerak ke hadapan.

“Kaola amat berharap agar pelaksanaan projek-projek pembangunan ini akan terus dilaksanakan dengan cekap dan teratur supaya manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat dalam tempoh yang sepatutnya.

“Dengan adanya perancangan yang berterusan dan penyediaan kemudahan awam yang lebih baik, kaola percaya rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa di samping membuka lebih banyak kepada masyarakat untuk turut serta dalam pembangunan ekonomi negara,” terang Yang Berhormat.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI