15.03.26 Pelaksanaan CBA, CIA dukung kestabilan monetari, kedayatahanan ekonomi negara

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. – Dasar penetapan nilai matawang Negara Brunei Darussalam (NBD) kepada dolar Republik Singapura kekal menjadi salah satu asas penting dalam memastikan kestabilan monetari negara.

Penetapan tersebut adalah berasaskan rangka dasar monetari negara ini yang terdiri daripada dua komponen utama iaitu Lembaga Mata Wang ataupun Currency Board Arrangement (CBA) dan perjanjian kesalingbolehtukaran matawang ataupun Currency Interchangeability Agreement (CIA) di antara NBD dengan Republik Singapura yang telah berkuatkuasa sejak 12 hari bulan Jun 1967.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menjelaskan perkara itu semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin mengenai matawang NBD kepada dolar Republik Singapura serta mekanisme dan dasar yang dilaksanakan untuk mempertahankan nilai matawang NBD agar kekal dan kalis inflasi, pada hari keempat Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, dari prospektif jangka panjang, dasar-dasar CBA dan CIA tersebut masih relevan memandangkan objektif utamanya adalah untuk mengekalkan kestabilan nilai matawang serta memperkukuhkan keyakinan pasaran melalui penetapan kadar satu ke satu antara matawang NBD dan dolar Republik Singapura.

Perjanjian ini terangnya, telah menyediakan asas kestabilan yang konsisten khususnya bagi sebuah ekonomi kecil dan terbuka seperti NBD, di mana kestabilan kadar pertukaran ini turut menyokong aktiviti-aktiviti perdagangan dan pelaburan dua hala secara lancar dengan mengurangkan risiko pertukaran asing dengan urus niaga rentas sempadan terutamanya dengan Republik Singapura sebagai rakan dagang utama.

Perjanjian tersebut, kata Yang Berhormat, membantu meningkatkan keyakinan pelabur serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Dari segi kestabilan harga domestik, dasar monetari negara ini juga telah membantu mengekalkan kadar inflasi yang rendah dan stabil di jangka masa panjang.

“Secara pro rata kadar inflasi NBD adalah rendah dan terkawal iaitu di bawah satu peratus tahun ke tahun bagi tempoh 1986 hingga 2025 dan sekali gus membantu memelihara kuasa beli pengguna dan kesejahteraan isi rumah,” ujar Yang Berhormat.

Selain itu, Yang Berhormat menambah, sebagai sebuah ekonomi yang mengimport sebahagian besar barangan dan perkhidmatan dari pasaran luar, adanya kestabilan dan kekukuhan matawang merupakan faktor penting dalam memastikan keupayaan pembayaran luar negara serta bagi mengurangkan tekanan kos import.

Dasar ini diperkukuh lagi dengan subsidi dan kawalan harga pentadbiran yang mana turut membantu dalam menstabilkan harga domestik.

“Strategi ini seterusnya meningkatkan keyakinan kepada pengguna, memperkukuh kedayatahanan ekonomi dan membantu memastikan kos barangan keperluan termasuk makanan dapat dikawalkan pada tahap yang terkawal dan mampan demi kesejahteraan rakyat,” kata Yang Berhormat.

Walaupun terdapat perbezaan dari segi struktur dan had tahap daya saing ekonomi di antara kedua-dua negara, kata Yang Berhormat, pelaksanaan CBA dan CIA telah terbukti berfungsi sebagai mekanisme yang menyokong kestabilan monetari dan kedayatahanan ekonomi negara.

Yang Berhormat menambah, kestabilan berkenaan menjadi asas penting dalam usaha mempelbagaikan ekonomi serta memperkukuhkan pertumbuhan jangka panjang.

“Secara keseluruhannya, selagi perjanjian ini terus menyumbang kepada kestabilan harga keyakinan pelabur dan kelancaran perdagangan, dasar polisi NBD adalah kekal relevan dalam menyokong kepentingan ekonomi untuk jangka panjang,” terangnya.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI