15.03.26 Pastikan rakyat NBD daftar Sistem e-Register KHELN

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. – Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof menekankan bahawa satu perkara yang telah dan terus digalakkan bagi setiap warga Negara Brunei Darussalam (NBD), rakyat dan penduduk tetap untuk mendaftar melalui Sistem e-Register, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (KHELN) untuk membolehkan kementerian dan pejabat perwakilan bagi negara yang berkenaan menghubungi mereka atau ahli-ahli keluarga di NBD dengan cepat sekiranya berlaku kecemasan atau musibah.

Yang Berhormat menekankan perkara itu pada hari keempat Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Beralih kepada pertanyaan Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai KHELN mempunyai beberapa tindakan utama untuk menangani sekiranya berlaku musibah kematian warga NBD di luar negeri.

Tindakan pertama, jelas Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, ialah mengenal pasti dan pemberitahuan. Apabila menerima maklumat atau laporan kematian warga NBD di luar negara, perwakilan di negara tersebut atau yang terdekat akan mengenal pasti identiti individu yang berkenaan melalui dokumen-dokumen perjalanan seperti pasport ataupun kad pengenalan. Setelah pengesahan, perwakilan akan segera dan secepatnya memaklumkan kepada ibu pejabat di KHELN, NBD.

KHELN, tambah Yang Berhormat, akan mendapatkan butir-butir peribadi lanjut seperti maklumat keluarga terdekat di negara ini dengan kerjasama agensi-agensi berkenaan seperti KHELN dan seterusnya menghubungi ahli keluarga yang terdekat tersebut.

Tindakan kedua, jelas Yang Berhormat lagi, adalah bantuan dan bimbingan konsular. Pejabat Perwakilan KHELN akan memberikan nasihat dan bimbingan konsular kepada ahli keluarga mengenai tatacara yang perlu diikuti dan syarat-syarat di negara berkenaan yang perlu dipatuhi. Ini termasuk urusan dokumentasi rasmi seperti sijil kematian, laporan hospital atau polis serta sebarang keperluan undang-undang atau peraturan di negara berkenaan.

Pejabat perwakilan kata Yang Berhormat, juga akan membantu pengurusan jenazah termasuk urusan penghantaran balik jenazah ke NBD atau pengurusan pengebumian di negara berkenaan tertakluklah kepada kehendak ahli keluarga.

Sokongan logistik termasuk pengurusan permit, koordinasi dengan pihak berkuasa tempatan dan syarikat penerbangan juga dilaksanakan oleh pihak Pejabat Perwakilan.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, bagi memudahkan komunikasi, KHELN dan Pejabat-pejabat Perwakilan menyediakan saluran komunikasi seperti Talian Hotline dan e-mel konsular bagi membolehkan ahli keluarga mendapatkan maklumat terkini mengenai urusan berkenaan.

Segala kos pengurusan adalah ditanggung oleh pihak keluarga secara terus ataupun melalui syarikat insurans yang mana insurans perjalanan tersebut diperoleh.

Yang Berhormat seterusnya menambah, ketiga, kemudahan kepada ahli keluarga. Dalam situasi tertentu tidaklah dapat dinafikan kos-kos mengurus pengebumian ataupun menghantar jenazah balik ke NBD sangat tinggi jika tidak ada mempunyai insurans perjalanan.

Dalam perkara ataupun situasi tersebut, kementerian juga boleh memudah cara urusan pembayaran secara pendahuluan, ‘advance’, mengikut syarat-syarat tertentu yang mana jumlah tersebut perlulah dibayar balik kepada kerajaan.

Di samping itu, Yang Berhormat mengambil kesempatan untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa berikutan situasi pergolakan yang sedang berlaku di Timur Tengah pada masa ini, KHELN melalui Pejabat-pejabat Perwakilannya di rantau tersebut sentiasa memantau perkembangan keselamatan dari semasa ke semasa terutamanya sekali dalam memastikan kesejahteraan semua warga NBD yang berdaftar di Pejabat-pejabat Perwakilan kita di rantau berkenaan.

Sehubungan itu, Yang Berhormat mengongsikan, KHELN ingin menekankan pentingnya bagi warga negara ini di negara-negara terjejas khususnya yang belum berdaftar dengan Pejabat-pejabat Perwakilan NBD untuk berbuat demikian secepat mungkin melalui e-Register di laman sesawang KHELN.

Pendaftaran itu menurut Yang Berhormat, akan memudahkan pihak KHELN dan Pejabat-pejabat Perwakilan untuk segera menyalurkan maklumat yang penting dan menghubungi warga NBD sekiranyalah terjadi keadaan yang tidak menentu.

Dalam pada itu, Yang Berhormat juga ingin merakamkan penghargaan kepada kesemua pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan di perwakilan-perwakilan negara di Rantau Timur Tengah yang mana sentiasa memberi khidmat kepada warga NBD dalam mana mereka sendiri pun berhadapan dengan keadaan yang tidak menentu.

Yang Berhormat menjelaskan, semoga Allah Subhanahu Wata’ala seterusnya melindungi mereka dan kesemua warga NBD yang berada di rantau tersebut.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI