BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. – Kelestarian dan peralihan tenaga bukan lagi isu sampingan, bahkan ia semakin menjadi sebagai faktor daya saing ekonomi.
Negara Brunei Darussalam mempunyai kelebihan tersendiri dalam hal ini melalui kekayaan hutan semula jadi serta komitmen yang tinggi terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Aset semula jadi ini bukan saja menyumbang usaha mitigasi perubahan iklim tapi juga berpotensi menjadi asas kepada pembangunan ekonomi negara melalui penyelesaian berdasarkan alam semula jadi.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin menyatakan perkara tersebut dalam Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun Kewangan 2026/2027 pada hari keempat Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Dalam hal ini, Yang Berhormat ingin melihat peluang negara sebagai pusat kerjasama perubahan iklim di rantau ini dimanfaatkan secara lebih fokus, bukan hanya sebagai reputasi tetapi sebagai platform yang melahirkan projek, pelaburan, pekerjaan baharu dan pemindahan teknologi.
“Soalan kaola, apakah projek-projek ekonomi hijau yang benar-benar tersedia untuk ditawarkan kepada pelabur? Dan apakah mekanisme koordinasi rentas agensi untuk memastikan pelaksanaannya pantas dan konsisten?” soal Yang Berhormat.
Yang Berhormat menambah, seperti yang telah dititahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai potensi negara untuk memainkan peranan dalam kerjasama perubahan iklim di peringkat ASEAN, peluang tersebut boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam penyelidikan serta pembangunan ekonomi mampan.
“Di samping itu, kestabilan negara, kedudukan geografi serta penggunaan bahasa Inggeris yang meluas juga merupakan antara faktor yang boleh menyokong usaha menarik kerjasama ekonomi dan pelaburan antarabangsa,” ujar Yang Berhormat.
Dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Negara, transformasi budaya kerja dalam perkhidmatan awam juga merupakan faktor yang sangat penting.
Budaya kerja yang meningkatkan produktiviti, akauntabiliti dan integriti serta pencapaian hasil perlu terus diperkukuhkan supaya setiap dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Pada masa yang sama, keterbukaan untuk menerima pandangan dan maklum balas dari pelbagai pihak termasuk rakyat juga adalah penting dalam memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat turut menyentuh realiti sosial rakyat dengan menekankan bahawa kekuatan ekonomi bukan hanya dinilai pada kadar pertumbuhan tetapi pada sejauh manakah manfaat pembangunan dirasai secara adil.
“Jika jurang pendapatan melebar, ‘Gini coefficient’, tekanan kos sara hidup meningkat dan peluang pekerjaan yang berpendapatan wajar tidak mencukupi maka ia akan mencetus kesan berantai, ‘chain effect’, peningkatan permohonan bantuan, tekanan rumah tangga dan risiko sosial yang lain,” terang Yang Berhormat.
Yang Berhormat juga menekankan kepentingan memperkukuh perlindungan sosial termasuk sokongan kepada keluarga yang terjejas khususnya wanita dan kanak-kanak.
Dalam era digital tegasnya, ancaman baharu seperti eksploitasi dalam talian, penyalahgunaan teknologi dan bentuk penderaan yang baharu, memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dari segi perundangan, penguatkuasaan koordinasi agensi serta kesedaran masyarakat.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




