BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Mac. – Bagi memajukan industri makanan, iaitu sektor pertanian, perikanan dan agrimakanan di negara ini, pendekatan Whole of Government Approach dan Whole of Nation Approach diperlukan. Ini melibatkan kerjasama yang erat antara sektor kerajaan dan sektor swasta.
Aspek-aspek ini turut dimuatkan dalam Food Industry Roadmap, yang berfungsi sebagai panduan strategik dalam memacu pertumbuhan serta meningkatkan hasil sektor makanan, khususnya melalui pengeluaran dan produktiviti dalam industri primer serta pemprosesan dan tambah nilai.
Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam Kenyataan Yang Berhormat mengenai dengan ‘Komitmen Berterusan Dalam Memajukan Sektor Makanan dan Pelancongan’ yang menyentuh dua aspek utama iaitu, strategi ke arah memajukan industri makanan dan seterusnya menjamin sekuriti makanan negara, serta usaha dan inisiatif dalam mengembangmajukan industri pelancongan di negara ini, pada hari ke-12 Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.
Yang Berhormat semasa mengongsikan kenyataan bagi menjawab sebahagian daripada pertanyaan yang telah dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat MMN yang dilantik turut menjelaskan dalam merangka hala tuju pembangunan industri makanan dan mengukuhkan ‘food security’, kementerian ini telah mengenal pasti enam komoditi utama, iaitu beras, ayam, telur ayam, daging, sayur-sayuran dan ikan.
Peningkatan pengeluarannya kata Yang Berhormat, diharapkan dapat memperkukuh sara diri makanan negara, mengurangkan kebergantungan import, menstabilkan harga, memastikan bekalan mencukupi walaupun dalam krisis global, serta merangsang pertumbuhan industri pertanian dan perikanan tempatan yang menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Seterusnya, Yang Berhormat juga mengongsikan mengenai pencapaian sara diri bagi enam komoditi tersebut dari keluaran industri pertanian dan perikanan yang secara purata bagi tiga tahun kebelakangan (2022-2024) ini, iaitu bagi sektor padi (beras), negara telah mencapai lapan peratus sara diri, bagi telur ayam adalah 103 peratus, bagi daging ayam adalah 100 peratus, bagi daging lembu dan kerbau dan lembu sekitar 2.3 peratus, bagi sayur tropika sekitar 72 peratus, dan bagi ikan adalah sekitar 74 peratus.
Selanjutnya, Yang Berhormat menjelaskan purata keluaran sektor makanan, merangkumi pertanian dan perikanan, meningkat sekitar 41 peratus dalam tiga tahun kebelakangan, dari BND525 juta pada 2017 kepada BND742 juta setahun pada masa kini.
Bagi tanggapan bahawa tahap sara diri padi (beras) tidak berkembang, Yang Berhormat menjelaskan bahawa ia sebenarnya telah meningkat dari 4.8 peratus pada 2017 kepada purata lapan peratus bagi 2022–2024. InsyaaAllah, dengan komitmen kementerian, pengusaha, dan peladang, sasaran 12 peratus dapat dicapai dalam masa berapa tahun yang akan datang.
Yang Berhormat juga turut berkata kementerian melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan akan melaksanakan tiga inisiatif utama dalam meningkatkan pengeluaran padi negara bagi mencapai sasaran tersebut:
“Pertama, menggalakkan penggunaan varieti padi hibrid berpenghasilan tinggi seperti padi hibrid Sembada 188 dan padi Yuan 158 yang boleh mencapai penghasilan lima hingga tujuh metrik tan sehektar semusim.
“Kedua, menjalankan penyelidikan dan percubaan bagi kesesuaian varieti-varieti padi baharu di kawasan perairan dan juga kawasan yang tidak perairan.
“Ketiga, meningkatkan kesuburan tanah melalui pertanian regeneratif di samping memastikan pemeliharaan alam sekitar yang mampan dengan penggunaan baja kompos,” jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya berkata dalam usaha memperkukuh tahap ‘food security’ negara, kementerian berdepan cabaran besar seperti tanah yang acidic dan terhad, perubahan cuaca yang sukar diramal, ancaman penyakit, serta cabaran dalam rantaian nilai ekosistem sektor makanan.
Justeru itu, Yang Berhormat menjelaskan pencapaian tahap sara diri tidak boleh direalisasikan secara serta merta, sebaliknya memerlukan pendekatan strategik dan berterusan untuk menangani faktor-faktor ini secara sistematik dan mampan.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




