14.08.25 MMN terima kunjungan hormat delegasi Program MECEA

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 14 Ogos. – Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman menerima kunjungan hormat daripada dua pegawai Kongres Amerika Syarikat di bawah Program Mutual Education and Cultural Exchange Act (MECEA), pagi tadi.

Turut hadir semasa kunjungan hormat ialah Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin dan Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong, Ketua Kampung Lumapas ‘B’.

Semasa kunjungan hormat tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai struktur dan peranan MMN, termasuk proses pemilihan wakil daerah serta penglibatan ahli-ahli dalam mesyuarat di peringkat dalam dan luar negara di samping memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala.

Kedua-dua pihak turut menyentuh mengenai agenda dan matlamat Wawasan Brunei 2035, usaha membangunkan industri yang mampan, serta langkah memperkukuh keupayaan tenaga kerja melalui pelbagai inisiatif dan program latihan.

Turut dibincangkan adalah peluang kerjasama dalam bidang latihan dan pertukaran pengetahuan termasuk dalam isu-isu serantau dan global seperti perubahan iklim, peranan wanita, belia dan teknologi. 

Rombongan juga berpeluang untuk melawat ke Dewan Persidangan MMN dan mendengarkan taklimat mengenai sejarah dan latar belakang MMN serta melihat secara langsung suasana dan kemudahan persidangan.

Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada program lawatan ke Negara Brunei Darussalam di bawah MECEA yang diadakan dari 13 hingga 16 Ogos 2025, bertujuan untuk mengukuhkan pemahaman mengenai sistem dan tadbir urus negara, di samping memperluaskan jalinan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

​(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI