13.03.26 Sesi dialog terbukti berkesan merapatkan Ahli MMN dengan masyarakat

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Mac. – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman menjelaskan, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi menandakan bahawa baginda sangat mementingkan MMN sebagai institusi kenegaraan dan mahu memastikannya berfungsi sewajarnya.

Yang Berhormat seterusnya berkata, kerana itu baginda bertitah Persidangan MMN bukan setakat pertemuan tahunan tetapi ia juga adalah wadah strategik untuk membahaskan isu-isu sebenar yang dihadapi oleh negara dan rakyat berdasarkan penelitian mendalam dan fakta yang kukuh.

Perkara demikian dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa mengemukakan Usul Menjunjung Kasih pada hari kedua Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Terdahulu Yang Berhormat sukacita mengusulkan bahawa Majlis ini bersetuju meluluskan satu usul menyembahkan sepenuh- penuhnya menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda ke majlis ini dan atas titah perutusan baginda yang mana majlis menjunjung kasih dengan sepenuh-penuhnya.

Yang Berhormat menjelaskan, sesungguhnya keberangkatan baginda semalam sangatlah disyukuri dan ia berupa keberangkatan pertama baginda ke Majlis Kenegaraan dalam tempoh pemulihan rawatan baginda setelah menjalani pembedahan yang lebih awal dirancang dan kita turut sama bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan menjunjung tinggi keberangkatan baginda yang tampil dalam keadaan sihat dan ceria dan sangat mengembirakan sekalian rakyat yang mengasihi dan menyanjung tinggi kepimpinan berwibawa lagi berwawasan baginda.

Yang Berhormat seterusnya turut menyentuh titah baginda yang memuji serta menghargai pendekatan sesi dialog dan permuzakarahan Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik dari ketiga-tiga kategori lantikan.

Jelas Yang Berhormat, sesi dialog pendekatan bersama kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan perlu dimanfaatkan sebaiknya yang mana pendekatan sedemikian pada pendapat baginda telah pun terbukti berkesan dalam merapatkan lagi Ahli-ahli MMN dengan masyarakat dalam memeduli keperluan serta untuk mendengar keluhan rakyat.

“Sedemikian itulah perhatian dan harapan baginda kepada MMN selaras dengan tujuan mewujudkannya sebagai instrumen permesyuaratan sejak ia ditubuhkan semula di bawah Perlembagaan Negara Pindaan 2004,” ujar Yang Berhormat.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI