13.03.26 MMN wadah penting bahas isu negara, tambah baik dasar kerajaan

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Mac. – Dalam menanai hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar Majlis Mesyuarat Negara (MMN) terus memainkan peranan sebagai wadah yang bermakna dalam membahaskan isu-isu negara dan rakyat, serta menyumbang kepada usaha menambah baik pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai perkembangan geopolitik antarabangsa dan kesannya kepada ekonomi global juga mengingatkan bahawa kestabilan ekonomi negara tidak boleh hanya bergantung kepada faktor luaran.

Perkara ini dibahaskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas, semasa menyatakan sokongan terhadap usul yang dicadangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman pada Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 2026, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Antara perkara yang boleh terus diperkukuh, jelas Yang Berhormat, ialah kegiatan ekonomi yang berasaskan kekuatan domestik, termasuk pengeluaran makanan, pertanian komersial serta perkembangan perusahaan tempatan.

Apabila asas ekonomi dalam negara menjadi lebih kukuh, negara akan lebih bersedia menghadapi perubahan dan ketidaktentuan yang berlaku di peringkat global.

Dalam hubungan ini juga, perkembangan perusahaan tempatan katanya, mempunyai peranan yang amat penting.

Tambahnya lagi, usahawan dan syarikat tempatan boleh menjadi antara pemacu utama kepada kegiatan ekonomi negara sekiranya mereka terus diberi ruang untuk berkembang serta mengambil bahagian dalam peluang-peluang ekonomi yang wujud.

Apabila lebih banyak kegiatan ekonomi digerakkan oleh kekuatan tempatan, manfaat pembangunan ekonomi akan dapat dirasai dengan lebih meluas oleh masyarakat.

Sementara itu, titah baginda mengenai keperluan untuk melaksanakan pembangunan negara secara lebih berkesan juga jelas Yang Berhormat, membawa makna bahawa keberhasilan sesuatu dasar tidak hanya bergantung kepada perancangan yang baik, tetapi juga kepada keupayaan untuk memastikan perlaksanaan berjalan dengan tersusun dan memberi hasil yang jelas.

Dalam hal ini, Yang Berhormat menyuarakan usaha memperkukuh penyelarasan antara agensi serta memastikan agar setiap inisiatif dilaksanakan dengan fokus yang jelas kepada hasil yang ingin dicapai boleh membantu memastikan bahawa manfaat pembangunan benar-benar sampai kepada rakyat.

“Berhubung dengan keselamatan jalan raya, kaola dengan penuh kesedaran mengambil maklum peristiwa musibah yang berlaku baru-baru ini yang mengingatkan bahawa keselamatan jalan raya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan negara dalam jangka panjang,” ujar Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat, infrakstruktur jalan raya yang dirancang secara berpandangan jauh bukan sahaja memudahkan pergerakan kenderaan, tetapi juga memastikan ruang jalan raya dapat digunakan dengan selamat oleh semua pengguna termasuk penunggang basikal dan pejalan kaki.

Dengan mengambil kira keperluan ini, peringkat perancangan sistem jalan raya dapat berkembang secara lebih teratur, selamat dan sesuai dengan perubahan corak mobiliti masyarakat pada masa hadapan.

“Sebagai Ahli Mesyuarat Negara, kaola mengambil maklum sepenuhnya harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar dewan ini terus berperanan sebagai medan untuk menilai dengan teliti isu-isu yang memberi kesan kepada negara dan rakyat.

“Persidangan ini memberi peluang kepada Ahli-ahli MMN untuk menyumbangkan pandangan yang berpandukan kepada pengalaman, pemerhatian serta kefahaman terhadap keadaan semasa agar setiap perbahasan yang berlangsung dapat memberi nilai tambah kepada usaha kerajaan dalam memastikan kemajuan negara terus terpelihara dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Sesungguhnya kaola akan terus berusaha memainkan peranan dengan sebaik-baiknya dalam menyokong segala usaha kerajaan bagi memastikan pembangunan negara berjalan secara seimbang, mampan, inklusif dan berintegriti selaras dengan aspirasi baginda agar Negara Brunei Darussalam terus aman, stabil makmur dan selamat untuk semua rakyat serta mencapai Wawasan Brunei 2035,” kata Yang Berhormat.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI