BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Mac. – Sesungguhnya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mencerminkan keprihatinan baginda yang berterusan terhadap kesejahteraan rakyat serta kemajuan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam (NBD).
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, juga Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong berucap demikian pada perbahasan Usul Menjunjung Kasih pada hari kedua Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat seterusnya menjunjung tinggi penekanan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai kepentingan memperkukuhkan kerjasama antara Ahli-ahli MMN dengan agensi-agensi kerajaan melalui sesi muzakarah dan perbincangan yang berterusan.
“Pendekatan ini amat penting bagi memastikan wujudnya sikap keterbukaan, saling memahami serta kesediaan kedua-dua pihak untuk bersama-sama mengemaskinikan dasar-dasar yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara.
“Melalui pendekatan ini juga, ia menjadi landasan kepada kesefahaman yang lebih kukuh dalam menangani isu-isu strategik negara, khususnya perkara-perkara yang menjadi keutamaan rakyat,” jelas Yang Berhormat.
Dalam masa yang sama, Yang Berhormat juga menjunjung perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap perkembangan situasi global yang semakin tidak menentu, termasuk konflik dan peperangan yang boleh memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dunia. Ketidaktentuan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan harga komoditi tenaga seperti minyak dan gas yang menjadi sumber utama ekonomi negara.
Sehubungan itu tambah Yang Berhormat lagi, usaha memperkukuhkan sumber ekonomi alternatif negara sewajarnya dilihat sebagai satu keperluan yang mendesak dan bukan lagi sekadar satu pilihan. Kepelbagaian ekonomi perlu digerakkan dengan lebih agresif melalui pembangunan sektor-sektor berpotensi seperti pertanian, pembuatan, industri kreatif serta industri hiliran berasaskan sumber negara.
Bagi menjayakan usaha ini kata Yang Berhormat, pembangunan sumber tenaga manusia tempatan hendaklah diberikan keutamaan. Tenaga kerja tempatan perlu diperkasakan dengan kemahiran, kepakaran dan pengetahuan yang relevan supaya mereka dapat memainkan peranan yang lebih signifikan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut Yang Berhormat lagi, dasar-dasar ekonomi negara hendaklah sentiasa dikaji dan dikemaskinikan agar selari dengan perkembangan semasa. Pendekatan ini penting bagi merangsang aktiviti perniagaan serta menggalakkan pelaburan yang berterusan.
Persekitaran ekonomi yang kondusif ujar Yang Berhormat, akan terus mengekalkan keyakinan para pelabur untuk melihat NBD sebagai sebuah negara yang selamat dan berpotensi untuk pelaburan, di samping mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan peniaga tempatan agar terus berdaya maju.
“Selain itu, patik juga menjunjung titah baginda mengenai kepentingan mengamalkan budaya perbelanjaan negara secara berhemah. Inisiatif pembangunan yang mempunyai impak tinggi hendaklah menjadi keutamaan supaya setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat yang berkesan kepada rakyat.
“Dalam hubungan ini, usaha meningkatkan produktiviti industri tempatan melalui penggunaan teknologi moden dalam penghasilan produk tempatan amatlah dialu-alukan. Produk yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan perlu diperkasakan agar mampu bersaing dengan produk dari negara luar,” jelas Yang Berhormat.
Tambah Yang Berhormat lagi, untuk merealisasikan matlamat ini, kerjasama yang erat antara pihak kerajaan dan sektor swasta perlu diperkukuhkan serta dilaksanakan secara telus dan berintegriti. Dalam pada itu, budaya rasuah dan amalan pilih kasih hendaklah dibanteras sehingga ke akar umbi agar sistem pentadbiran negara sentiasa berlandaskan prinsip integriti, ketelusan dan keadilan.
Yang Berhormat juga menyentuh mengenai kesejahteraan rakyat menjadi perhatian, iaitu isu infrastruktur jalan raya yang sering menjadi kebimbangan masyarakat. Keadaan jalan yang rosak, berlopak dan kurang disenggarakan bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya, bahkan turut meningkatkan risiko kemalangan. Perkara ini sewajarnya terus diberikan perhatian serius oleh pihak-pihak yang berkepentingan agar kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
Selain itu, Yang Berhormat juga mengongsikan mengenai dengan isu gangguan bekalan elektrik dan air merupakan antara perkara yang sering disuarakan oleh rakyat. Keadaan ini lebih dirasai apabila gangguan berlaku pada waktu malam atau pada hari-hari cuti, iaitu ketika keluarga berkumpul dan berehat bersama.
“Adalah diharapkan agar isu-isu ini ditangani dengan lebih berkesan demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Semua usaha ini adalah selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, iaitu ke arah membentuk sebuah negara yang maju, berpendidikan tinggi serta mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi.
“Akhirnya, kaola dengan penuh takzim menyokong usul menjunjung kasih ini sebagai tanda penghargaan dan sokongan padu terhadap kepimpinan serta wawasan Kebawah DYMM. Sebagai rakyat yang setia, kita semua hendaklah terus berusaha meningkatkan keupayaan diri, memperkukuhkan komitmen serta memainkan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada kemajuan negara.
“Sesungguhnya kejayaan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui perancangan yang baik atau blueprint yang hebat, tetapi yang lebih penting ialah apabila segala perancangan tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya dan manfaatnya benar benar dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” ujar Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




