13.03.26 Bersatu padu tangani cabaran negara

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Mac. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam menjunjung kasih dan berbesar hati atas pengiktirafan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap peranan MMN ini serta terhadap pendekatan sesi dialog dan permuzakarahan yang diusahakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang dilantik bersama pihak-pihak berkepentingan dari sektor kerajaan dan juga swasta.

Yang Berhormat Ahli MMN menyatakan pengiktirafan ini menjadi pendorong kepada mereka untuk meneruskan usaha tersebut sebagai salah satu saluran alternatif bagi memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran negara, membincangkan isu-isu berkeutamaan yang memberikan implikasi langsung kepada pembangunan negara serta menyampaikan suara rakyat melalui perbincangan dua hala yang lebih telus, terbuka dan konstruktif demi rakyat dan negara yang berdaulat ini.

“Baginda juga telah menitahkan mengenai pentingnya meningkatkan usaha bagi memperkasakan ekonomi negara yang turut terkesan oleh perkembangan geopolitik di peringkat antarabangsa. Dalam hal ini kita juga, harus berwaspada akan kesan pergolakan geopolitik ini terhadap ‘national food security’ kita memandangkan sebahagian besar bekalan makanan negara diperoleh melalui import,” tambah Yang Berhormat semasa menyokong usul yang dicadangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, pada Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 2026, yang diadakan di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

Selain itu, kepentingan sektor swasta dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam mempelbagaikan ekonomi negara juga menjadi perhatian baginda. Usaha ini, tegas Yang Berhormat, memerlukan sokongan padu dari semua agensi kerajaan yang berkepentingan termasuk dengan cara mempermudah dasar-dasar yang sedia ada dan mempercepatkan proses-proses yang berkaitan.

Dalam hal ini juga, Yang Berhormat menyokong usaha berterusan kerajaan menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur di negara ini. Namun dalam masa yang sama, kerajaan juga, kata Yang Berhormat, wajar menilai semula dasar-dasar pelaburan yang ada bagi memacu penglibatan pelabur-pelabur tempatan. Inisiatif dan strategi yang kurang menunjukkan hasil positif perlu dikaji semula bagi mencari alternatif yang lebih proaktif dan berpaksikan pencapaian hasil.

Menyentuh dari aspek keselamatan, Yang Berhormat amat terharu dengan keprihatinan baginda mengenai musibah kemalangan yang mengorbankan dua penunggang basikal baru-baru ini.

“Dalam hal ini juga, biskaola ingin menarik perhatian semua kepada isu gangguan bekalan air yang berlaku sebelum ini akibat insiden tanah runtuh yang berpunca daripada fenomena perubahan iklim. Kejadian-kejadian ini mengingatkan kita tentang keperluan untuk sentiasa siap siaga menghadapi risiko yang tidak dijangka, serta pentingnya melakukan penilaian semula secara kritikal terhadap semua prasarana utama negara”.

Sehubungan itu, Yang Berhormat menegaskan meningkatkan prasarana dan kemudahan awam termasuk pengangkutan awam adalah satu keperluan yang mendesak bagi menjamin keselamatan, kelangsungan hidup dan kesejahteraan rakyat.

Malahan, integriti adalah asas kepada urus tadbir yang baik serta menjadi tonggak kestabilan dan kemajuan negara. Gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan menjejaskan kepercayaan rakyat serta melemahkan sistem pentadbiran negara sekiranya tidak dibanteras dengan tegas.

Oleh itu, proses-proses siasatan terhadap kes-kes berkaitan integriti tegas Yang Berhormat lagi, hendaklah dipercepat dan diperkukuh dengan peruntukan sumber-sumber yang bersesuaian, termasuk bagi kes-kes yang tertangguh untuk sekian lama. Ketegasan kerajaan dalam hal ini mencerminkan komitmen untuk memastikan pentadbiran negara kekal telus, berwibawa dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI