13.03.25 Projek pembinaan bangunan baharu Perkhidmatan Kecemasan sedang dilaksanakan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Mac. – Seperti yang kita sedia maklum, isu banjir yang sering terjadi di Daerah Belait sama ada berada di dalam Monsoon Timur Laut or musim tengkujuh yang kita alami pada masa ini, sering kali terjadi disebabkan fenomena air pasang besar terutama di kawasan muara Sungai Kuala Belait.

Pada waktu air pasang, ditambah dengan hujan lebat berpanjangan boleh menyebabkan limpahan air sungai naik ke kawasan daratan termasuk hospital yang mengakibatkan gangguan operasi dan risiko keselamatan.

Walau bagaimanapun, dari pengalaman kejadian banjir sebelum ini, perkhidmatan kecemasan dan kawasan sekitar bagi projek tersebut tidak pernah terjejas disebabkan oleh peningkatan paras air dan perkhidmatan ini sentiasa beroperasi seperti biasa 24 jam semasa berlakunya banjir di kawasan lain di Hospital Suri Seri Begawan (SSB).

Berucap demikian pada hari ke-11 Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar seterusnya memaklumkan bahawa projek pembinaan bangunan baharu bagi Perkhidmatan Kecemasan di Hospital SSB yang menggunakan peruntukan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 12 telah bermula pada 26 Februari 2025 dan dijangka siap pada bulan Februari 2026 dan terletak bersebelahan dengan Jabatan Perkhidmatan Kecemasan sekarang serta dibina lebih tinggi daripada paras tanah.

Namun begitu ujar Yang Berhormat, sebagai langkah kesiapsiagaan pihak pengurusan Hospital SSB dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan melaksanakan inisiatif seperti pembinaan kalbat di Jalan Panglima, Kuala Belait pada bulan Jun 2023.

“Tujuan inisiatif ini ialah untuk memastikan saliran di luar kawasan hospital berfungsi dengan baik,” tambah Yang Berhormat lagi.

Demikian jawaban yang diberikan oleh Yang Berhormat bagi menjawab soalan Ahli MMN, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampong Labu Estate dan Piasau-piasau berkenaan isu banjir di Hospital SSB.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI