13.03.25 Meningkatkan kesedaran masyarakat tanggungjawab menjaga warga emas

​BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Mac. – Isu mengenai jumlah warga emas yang ditinggalkan di hospital untuk tempoh yang lama, perkara ini memang membimbangkan dan pihak Kementerian Kesihatan telah pun meneliti pelbagai langkah untuk menangani perkara ini.

Terlebih dahulu untuk makluman, sebahagian besar kes warga emas yang tinggal lama di hospital ini adalah berpunca daripada isu sosial seperti ketiadaan penjaga yang sesuai di rumah atau menunggu kedatangan pembantu rumah yang baharu.

Demikian yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada hari ke-11 Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Ini adalah bagi menjawab persoalan yang disuarakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai dengan warga emas.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, sebahagian kecil keluarga juga tidak dapat ataupun enggan untuk menjaga warga emas yang mengalami keadaan yang teruk seperti pesakit yang terlantar di atas katil atau mengalami Demensia lanjut.

“Warga emas yang hidup sebatang kara tanpa ahli keluarga di negara ini dan persekitaran rumah yang tidak sesuai dan memerlukan pengubahsuaian. Seterusnya, faktor lain adalah keperluan peralatan perubatan seperti katil hospital yang belum tersedia, ketiadaan penjaga yang sesuai di rumah atau menunggu pembantu rumah yang seperti saya nyatakan tadi dan sebahagian kecil adalah saya sebut tadi juga masalah keluarga yang ‘inda’ mahu menjaga inilah jua.

“Jadi Kementerian Kesihatan melalui Unit Geriatrik dan Paliatif, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Bahagian Pekerja Sosial Perubatan or ‘medical social worker’ sentiasa bekerjasama dan mengenal pasti dan mencari penyelesaian bagi isu berkenaan termasuk meminjamkan katil hospital atau peralatan perubatan yang diperlukan,” terang Yang Berhormat.

Namun, stok peralatan perubatan adalah terhad jelas Yang Berhormat, dan kadangkala pesakit perlu menunggu peralatan dikembalikan oleh pesakit terdahulu sebelum boleh dipinjamkan kepada yang memerlukan.

Yang Berhormat menegaskan, memandangkan kebanyakan isu ini adalah berkaitan dengan aspek sosial, penyelesaiannya memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan justeru Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akar umbi dan masyarakat secara keseluruhan.

Oleh itu, usaha kesedaran sosial serta penglibatan seperti Ketua Kampung dan komuniti amat diperlukan bagi memastikan kebajikan warga emas terjaga.

“Sebagai contoh, mempercepatkan proses mendapatkan pembantu rumah dengan surat sokongan hospital dan juga bantuan kewangan bagi mereka yang tidak mampu untuk mendapatkan bantuan pembantu rumah.

“Kementerian Kesihatan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) yang sentiasa menyokong kesejahteraan hal ehwal warga emas di negara ini menerusi beberapa inisiatif seperti menguatkuasakan Undang-undang Perlindungan Warga Emas bagi melindungi hak dan kesejahteraan warga emas termasuk undang-undang yang memastikan ahli keluarga bertanggungjawab atau penjagaan orang tua mereka,” jelas Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat lagi, memberikan bantuan kewangan atau insentif kepada keluarga memerlukan bantuan menjaga orang tua mereka di rumah. Dari pihak Kementerian Kesihatan pula, Bahagian Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi memberikan melalui pusat-pusat kesihatan dan klinik-klinik kesihatan di seluruh negara, salah satu perkhidmatan yang relevan dalam persoalan ini adalah Perkhidmatan Penjagaan Rumah ke Rumah, Home Based Nursing.

Walau bagaimanapun tambah Yang Berhormat, seperti yang dinyatakan sebelum ini perkhidmatan ini hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai kriteria-kriteria tertentu saja, iaitu bagi pesakit yang telah disahkan oleh profesional kesihatan sebagai pesakit terlantar di atas katil ‘or bedbound’ atau terlantar di rumah ‘or housebound’ yang memerlukan prosedur-prosedur tertentu seperti pertukaran ‘urinary catheter’, pertukaran ‘nasogastric tube’ dan sebagainya.

Bagi pesakit-pesakit yang berupaya menghadirkan diri ke pusat kesihatan akan diberikan perkhidmatan di pusat-pusat berhampiran. Sebarang keperluan tambahan yang dikenal pasti akan dapat diusahakan melalui rujukan kepada pihak-pihak yang tertentu seperti ‘medical social worker’.

Mana-mana pesakit yang baharu ‘discharged’ dari hospital termasuk pesakit warga emas secara rutinnya akan diberikan tarikh perjanjian di klinik pakar ataupun dirujuk kepada pakar di Bahagian Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi bagi ‘follow-up’ seterusnya.

“Walau bagaimanapun, jika pesakit tersebut mengalami masalah kesihatan baharu dan mereka ini mampu untuk menghadirkan diri ke pusat-pusat kesihatan atau mereka boleh berjumpa doktor-doktor di pusat kesihatan yang berdekatan.

“Antara rancangan masa depan ialah meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang tanggungjawab menjaga warga emas di rumah. Mendorong lebih banyak penyertaan sektor swasta dalam menyediakan kemudahan penjagaan warga emas termasuk penjagaan di rumah.

“Bekerjasama dengan KKBS dalam Program Caregiver yang dilaksanakan bersama Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) untuk menyiapkan individu sebagai penjaga pesakit dan seterusnya membuka peluang kepada pencari pekerjaan yang menceburkan diri dalam bidang ini dan sama-sama meneliti pendekatan secara Whole of Nation di dalam menangani isu penjagaan warga emas dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang lain untuk mengkukuhkan lagi perkhidmatan dan penjagaan mereka secara menyeluruh dan bukan sahaja dari segi aspek kesihatan termasuk mengukuhkan mekanisme pesakit dapat dihubungkan dengan pelbagai perkhidmatan sosial dan komuniti dalam meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mengikut keperluan individu tersebut,” ujar Yang Berhormat lagi.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI