12.03.25 Usaha bersepadu menilai keselamatan trafik secara berterusan

​BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. – Kementerian Pembangunan mengambil perhatian serius ke atas lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya sebagai kawasan sering berlakunya kemalangan dengan merangka langkah-langkah pencegahan risiko kemalangan.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid membentangkan perkara tersebut ketika menjawab soalan yang diajukan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong, pada hari kesepuluh Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Berdasarkan data yang diperoleh, jelas Yang Berhormat, sebanyak 36 kemalangan telah direkodkan di sekitar persimpangan menuju ke Binturan Kem dan Jalan Bukit Panggal dari pertengahan tahun 2020 hingga awal tahun 2025 iaitu dalam masa tempoh lima tahun kebelakangan atau purata sekitar tujuh hingga lapan kemalangan dalam masa setahun.

Daripada jumlah tersebut, 22 kes melibatkan kerosakan harta benda, manakala lebih dua pertiga daripada kemalangan melibatkan kenderaan sendiri, ‘self-accidents’.

Menurut Yang Berhormat, seramai enam mangsa kemalangan berkenaan telah mengalami cedera ringan manakala seorang mangsa telah mengalami kecederaan yang serius.

”Kementerian Pembangunan juga telah mengenal pasti dua lokasi utama di kawasan berkenaan yang berisiko tinggi iaitu pusingan kanan yang bersambung ke Jalan Binturan dan pusingan-U yang bersambung ke Jalan Bukit Panggal. Walaupun kedua-dua persimpangan ini telah dilengkapi dengan tanda jalan dan penghadang keselamatan, masih terdapat kekurangan papan tanda amaran awal yang jelas terutama pada waktu malam.

Di samping itu reka bentuk pusing-U dan susur masuk yang sedia ada, berpotensi mengganggu kelancaran aliran trafik lebuh raya di kawasan ini. Maka sebagai langkah segera yang diambil oleh Jabatan Jalan Raya, satu inisiatif jangka pendek bagi meningkatkan kesedaran keselamatan di kawasan ini, antaranya ialah pemasangan papan tanda keselamatan reflektif di kedua-dua persimpangan sebagai amaran kepada pemandu khususnya pada waktu malam,” ujar Yang Berhormat.

Selain itu ujarnya, tanda jalan dan ‘rumble strips’ akan dicat semula dengan lebih jelas sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya agar dapat memperlahankan kenderaan apabila menghampiri kawasan-kawasan tersebut.

Yang Berhormat menyatakan, dalam jangka panjang, Jabatan Jalan Raya dalam usaha bersepadu bersama Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) untuk menjalankan penilaian keselamatan trafik secara berterusan.

“Ini bertujuan untuk membuat kajian dan menilai keperluan untuk menambah baik reka bentuk simpang, menambah laluan alternatif atau melaksanakan perubahan lain yang lebih signifikan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan pengguna jalan raya di kawasan ini dan juga kawasan-kawasan risiko yang lain,” tambah Yang Berhormat lagi.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI