BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait mengajukan persoalan mengenai jumlah hasil jualan produk INSAF ini dalam tempoh setahun dan perancangan ke arah menjual produk-produk ini setiap hari melalui premis produk INSAF yang boleh dikunjungi oleh orang ramai.
Dalam respon yang diberikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman antara lain menjelaskan, produk INSAF itu, ia berkaitan dengan penjara memang objektif produk INSAF adalah untuk memberikan banduan-banduan kemahiran vokasional bagi memastikan kesiapsiagaan banduan untuk menjalani kehidupan selepas dibebaskan.
Hasil produk-produk INSAF itu kata Yang Berhormat pada hari ke-10 Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, tidak diberikan kepada banduan, hasil penjualan produk banduan INSAF berkenaan akan menjadi hasil kepada Jabatan Penjara.
Yang Berhormat seterusnya menambah, bagaimanapun bagi banduan-banduan yang mengikuti Program Vokasional itu akan dibayar gaji yang mana pendapatan yang diperoleh oleh banduan berkenaan akan dikumpulkan untuk keperluan banduan-banduan selepas bebas nanti dan tertakluk juga kepada banduan-banduan itu sendiri yang gaji mereka terkumpul boleh diserahkan kepada ahli keluarga mereka.
“Jumlah hasil jualan produk-produk 2024 sahaja adalah BND6,000 sahaja. Walau bagaimanapun, kemahiran adalah penting dalam memastikan kesiapsiagaan banduan-banduan setelah keluar daripada pemenjaraan,” ujar Yang Berhormat lagi.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




