12.03.25 Pemantauan risiko bencana perlu dinamik, bersepadu

​BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. – Negara Brunei Darussalam tidak terlepas daripada cabaran bencana alam dan insiden kecemasan yang semakin kompleks seperti hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat, tanah runtuh serta kebakaran hutan yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat.

Oleh itu, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) boleh mengambil pendekatan yang lebih holistik dan bersepadu bukan hanya dalam tindak balas kecemasan tetapi juga dalam aspek kesiapsiagaan jangka panjang serta pemulihan pasca bencana.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat, menyatakan perkara tersebut semasa membahaskan Tajuk SE01A Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) pada persidangan hari kesepuluh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Yang Berhormat menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan KHEDN dalam memperkukuh sistem pengurusan bencana termasuk melalui kerjasama antara pelbagai agensi dalam latihan kesiapsiagaan yang diadakan dari semasa ke semasa.

”Ini adalah langkah penting dalam memastikan setiap pasukan mempunyai kesediaan yang tinggi dalam menghadapi pelbagai bentuk bencana,” kata Yang Berhormat.

Dalam memastikan keberkesanan strategi ini, ujar Yang Berhormat, latihan berkala mungkin tidak mencukupi jika tidak disertai dengan peningkatan kapasiti tenaga kerja, fasiliti dan sistem pemantauan yang lebih canggih.

Menurut Yang Berhormat, salah satu aspek yang kaola ingin beri perhatian ialah pemantauan risiko bencana yang lebih dinamik dan bersepadu.

Dengan perubahan iklim global serta perkembangan pesat kawasan bandar terangnya, pemantauan risiko tidak boleh lagi bergantung kepada analisis tradisional semata-mata.

”Oleh itu, kaola mencadangkan agar sistem pemantauan risiko dibangunkan secara lebih menyeluruh dengan berasaskan data masa nyata (‘real time’). Sistem ini boleh menggabungkan data cuaca keadaan tanah, corak hujan serta pergerakan air bawah tanah untuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dengan lebih tepat.

Selain itu, kaola berpandangan bahawa pengukuhan kapasiti tenaga kerja dalam pengurusan bencana perlu diberi keutamaan,” kata Yang Berhormat.

Dalam menghadapi insiden bencana yang semakin tidak menentu, tambah Yang Berhormat, peningkatan jumlah anggota pasukan, tindak balas kecemasan bukan sahaja satu keperluan tetapi satu keutamaan.

Oleh itu, Yang Berhormat mencadangkan agar ‘recruitment’ dan latihan khusus bagi Pasukan Tindak Balas Bencana diperkukuh dengan fokus kepada kemahiran teknikal, kordinasi operasi antara agensi serta penggunaan teknologi dalam pengurusan bencana.

Daripada segi fasiliti kecemasan tegasnya, Yang Berhormat berpandangan bahawa pusat perlindungan sementara perlu dinaik taraf bagi memastikan ia lebih selesa, selamat dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Ruang pemindahan yang lebih sistematik dengan kemudahan perubahan yang lebih lengkap serta sistem penyaluran maklumat yang lebih cekap perlu diwujudkan agar setiap mangsa bencana mendapat bantuan dengan lebih pantas dan teratur,” kata Yang Berhormat.

Yang Berhormat juga menyambut baik langkah-langkah penyelarasan antara NDMC, Jabatan Bomba dan Penyelamat; Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta Kementerian Kesihatan dalam menguruskan bencana bagi meningkatkan kecekapan kordinasi dan pemantauan bencana secara menyeluruh.

Seterusnya Yang Berhormat mencadangkan pembangunan sistem digital berpusat yang membolehkan pengurusan data masa nyata antara semua agensi berkaitan.

“Dengan adanya sistem ini, tindak balas kecemasan dapat dimobilisasi dengan lebih pantas, sumber dapat diagihkan dengan lebih strategik dan maklumat dapat dikemas kini secara terus kepada pihak berkepentingan,” tambahnya lagi.​

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI