BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. – Bimbingan kerjaya di peringkat sekolah rendah diperkukuhkan lagi dengan pendedahan pelajar kepada pelbagai trend pasaran kerja yang semakin berkembang termasuk memperkenalkan kanak-kanak kepada konsep asas jual beli, mencipta idea atau keusahawanan.
Antara langkah-langkah tersebut termasuklah pendedahan awal melalui program keusahawanan dan kokurikulum, penyediaan bahan visual untuk kesedaran kerjaya, pembangunan kurikulum dan bimbingan kerjaya berstruktur; serta penggunaan teknologi dan pendekatan interaktif.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh menjelaskan perkara itu semasa menjawab soalan yang diajukan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengenai bimbingan kerjaya untuk pelajar-pelajar seawal usia peringkat rendah semasa persidangan hari kesepuluh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN.
Terdahulu, Yang Berhormat mengongsikan bahawa usia peringkat rendah dalam konteks persekolahan adalah bermula seawal lima hingga 12 tahun.
“Pengenalan kepada konsep kerjaya telah pun dimasukkan dalam perisian kurikulum seawal di peringkat sekolah rendah. Persoalan tentang apa itu pekerjaan, jenis pekerjaan yang sering mereka lihat seperti kerjaya sebagai seorang doktor, askar, guru dan tentang apa yang dikerjakan oleh satu-satu pekerjaan itu serta persoalan mengenai cita-cita mereka apabila menginjak usia dewasa juga sering ditanyakan seawal peringkat sekolah rendah,” kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat menambah, proses pembelajaran yang menyebabkan perubahan dalam pengetahuan terhasil daripada beberapa faktor yang mempengaruhinya termasuk pengalaman pelajar, pengulangan, penyertaan, minat dan motivasi.
“Oleh yang demikian, dalam membina dan memperkukuhkan pemahaman kanak-kanak mengenai konsep pekerjaan, mereka akan didedahkan melalui pelbagai mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris dan jua Bahasa Melayu. Ini dilakukan melalui alat-alat bantu mengajar seperti kad kilat, gambar dan sebagainya serta jua melalui lawatan sekolah ke tempat-tempat pekerjaan yang diajarkan.
Terdapat juga sekolah-sekolah rendah yang mengadakan aktiviti Hari Kerjaya bagi mendedahkan pelajar mengenai kerjaya-kerjaya di masa depan,” ujar Yang Berhormat.
Selain memahami dan menimbulkan minat dengan pekerjaan, kata Yang Berhormat, kanak-kanak diberi penekanan berterusan tentang penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira ataupun matematik untuk mencapai cita-cita mereka.
Daripada segi kurikulum pendidikan, Yang Berhormat menjelaskan konsep pekerjaan diperkenalkan melalui peringkat pembelajaran dengan mengambil kira keluasan, kedalaman serta kesesuaiannya mengikut peringkat umur pelajar. Sebagai contoh, dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 1, 2 dan 3, kanak-kanak diperkenalkan kepada pekerjaan seperti anggota bomba, polis, jururawat, doktor, hakim, pekebun dan penternak.
Menurutnya, apabila mereka berada di Tahun 4 mereka akan diperkenalkan kepada kerjaya sebagai usahawan atau konsep jual beli.
Dalam hal ini, terang Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan akan sentiasa mengutamakan inisiatif menyeluruh dalam memperkukuhkan kesedaran dan persediaan awal pelajar terhadap dunia pekerjaan yang dinamik dan kompetitif. Mengenai penyediaan bahan visual seperti video pendidikan dan infografik bagi meningkatkan kesedaran kerjaya pula, Yang Berhormat menambah, Kementerian Pendidikan melalui Education Technology Unit atau EduTech akan terus membina video-video pendidikan dan infografik mengikut konsep pembelajaran atau secara merentas kurikulum.
“Sebagai contoh satu ‘e-book’ yang telah dikeluarkan oleh unit EduTech yang bertajuk ‘What I Want to Be When I Grow Up?’ khusus bagi pelajar Tahun 1 hingga Tahun 3,” kata Yang Berhormat.
Bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengenai perkhidmatan CfBT pula, Yang Berhormat Menteri Pendidikan berkata, pihak kementerian telah pun memperbaharui kontrak perkhidmatan guru-guru CfBT seramai 200 orang bagi tempoh tiga tahun bermula Januari 2024.
“Sepertimana lazimnya mereka telah pun ditempatkan di sekolah-sekolah rendah dan menengah, maktab-maktab dan pusat-pusat Tingkatan 6 kerajaan untuk mengajar mata pelajaran dan literasi Bahasa Inggeris,” kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat berkata, beberapa sesi perbincangan awal bersama pihak-pihak berkepentingan termasuk CfBT telah pun diadakan sebagai persediaan mengenai jumlah pengambilan guru CfBT dan dalam kontrak akan datang.
Yang Berhormat juga mengongsikan bahawa pihak kementerian akan terus meneroka penyedia-penyedia lain selain CfBT.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




