12.03.25 Memastikan operasi dilaksanakan dengan teratur, cepat, berkesan

​BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. – Negara Brunei Darussalam (NBD) pada bulan Januari 2025 yang lalu telah mengalami musim ‘monsoon’ Timur Laut dengan purata hujan yang tinggi iaitu berdasarkan kepada maklumat dari Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam yang mana pada bulan Januari 2025 sebanyak 400.7 milimeter (mm) jumlah turunan hujan berbanding pada Januari 2024 iaitu sebanyak 393mm.

Operasi tindak balas dalam menangani bencana atau sebarang kejadian yang diguna pakai ketika ini adalah berpandukan kepada National Standard Operating Procedure (NASOP).

“Alhamdulillah, sehingga ini pengerahan aset-aset dan bantuan-bantuan daripada agensi-agensi berkenaan berjalan dengan lancar dan mengikut piawaian yang telah ditetapkan bagi memastikan operasi tindak balas dapat dilaksanakan dengan teratur, cepat dan berkesan.

“Pendekatan ini juga telah digunakan semasa menangani insiden yang berlaku baru-baru ini. Dalam memastikan kelancaran pemberian bantuan, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) bekerjasama rapat dengan Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; syarikat-syarikat swasta dan Pertubuhuan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) termasuk sukarelawan bagi memastikan pengagihan dan penghantaran bantuan serta catuan makanan dapat dilaksanakan dengan lancar,” jelas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman bagi menjawap persoalan yang diutarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam.

Yang Berhormat seterusnya mengongsikan projek menaik paras dan menaik taraf jalan raya yang melibatkan 22 lokasi iaitu di Daerah Belait (10 lokasi), di Daerah Tutong (sembilan lokasi) dan di Daerah Temburong (tiga lokasi) yang telah dan sedang dilaksanakan sejak tahun 2023 melalui kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan yang bertujuan untuk meningkatkan aksesibiliti, mengurangkan risiko terputus hubungan semasa bencana, memastikan penduduk kampung masih dapat bergerak dan penghantaran dapat dilaksanakan dengan lancar.

Daripada 22 lokasi tersebut tambah Yang Berhormat, 19 lokasi telah selesai dinaik paras dan dinaik taraf manakala tiga lokasi di Daerah Belait dan di Daerah Tutong akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi.

“Alhamdulillah, jalan-jalan raya yang telah dinaik paras dan dinaik taraf tidak lagi mengalami banjir. Dengan penaikan paras jalan-jalan raya ini juga terdapat pengurangan yang ketara dalam rumah yang terjejas dan pengagihan catuan makanan masa banjir baru-baru ini di kawasan pedalaman Daerah Tutong yang mana sebanyak 198 buah rumah telah terjejas banjir dan hanya 183 bantuan catuan makanan yang perlu diagihkan berbanding 391 buah terjejas dengan pengagihan sebanyak 304 catuan makanan pada tahun 2023.

“Penurunan keperluan pengagihan catuan ini jelas membuktikan keberkesanan menaik projek paras jalan dan menaik taraf jalan-jalan raya ini yang mana ianya bukan saja meningkatkan aksesibiliti semasa bencana tetapi juga membolehkan penduduk-penduduk yang terjejas meneruskan aktiviti harian mereka dan mendapatkan keperluan asasi mereka.

“InsyaaAllah pihak kerajaan akan sentiasa memantau perkara ini bagi memastikan tindakan jangka panjang dapat dilaksanakan demi untuk memberikan kesejahteraan kepada penduduk kampung yang terjejas.

“Selain daripada menaik paras dan menaik taraf jalan raya yang sebelum ini sering dilanda banjir, inisiatif-inisiatif lain termasuk membersihkan dan meluaskan sistem saliran di sepanjang jalan tersebut,” ujar Yang Berhormat pada hari ke-10 Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat juga berkata tindakan ini bukan sekadar penyelesaian teknikal akan tetapi merupakan pendekatan holistik yang menyasarkan kepada meningkatkan kapasiti infrastruktur untuk membendung limpahan air hujan secara efektif dan berkesan. Pada masa yang sama, NDMC juga secara berterusan melaksanakan sesi taklimat dan program kesedaran awam seperti program Community Based Disaster Risk Management, School-Based Disaster Risk Management, program Disaster Preparedness Coordinator dan Program Pemimpin Masyarakat yang melibatkan pemimpin di peringkat akar umbi, warga sekolah dan pihak swasta serta badan bukan kerajaan bagi memastikan maklumat yang tepat dan terkini sampai kepada orang ramai.​

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI