11.09.25 Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat anjurkan Sambutan Maulud Nabi

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 September. – Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi bertempat di Dewan Auditorium, Bangunan Dewan Majlis.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.

Turut hadir ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, serta para pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ceramah khas bertajuk ‘Meraih Barakah Melalui Sunnah Rasulullah’ yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Ugama, Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Awang Haji Badaruddin bin Haji Basar.

Ceramah tersebut antara lain mengongsikan kelebihan mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam kehidupan seharian sebagai jalan memperoleh keberkatan, ganjaran pahala dan keredaan Allah Subhanahu Wata’ala.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir Syarafil Anam oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Majlis ini bertujuan untuk memperingati dan menghayati sirah serta perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping memupuk rasa cinta kepada baginda serta mempererat silaturahim dalam kalangan warga jabatan.

BERITA TERKINI