VIENTIANE, REPUBLIK DEMOKRATIK RAKYAT LAO, Khamis, 10 Oktober. – Mesyuarat ASEAN-AIPA Leaders’ Interface kali Ke-13 sempena berlangsungnya Sidang-sidang Kemuncak ASEAN kali Ke-44 dan Ke-45 telah diadakan pada 9 Oktober 2024, bertempat di National Convention Centre, Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao.
Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diwakili oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji lbrahim.
Mesyuarat ASEAN-AIPA Leaders’ Interface merupakan landasan tahunan di peringkat tertinggi bagi menjalinkan perhubungan dan berinteraksi serta berkonsultasi untuk mengukuhkan kesepaduan dan kerjasama yang erat di antara Ketua-ketua Kerajaan Negara-negara Anggota ASEAN dan Parlimen Negara-negara Ahli ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA).
Terdahulu, Mesyuarat Persediaan bagi Mesyuarat ASEAN-AIPA Leaders’ Interface kali Ke-13 telah pun diadakan antara Ketua-ketua Delegasi Negara-negara Ahli AIPA, dan perwakilan Negara Brunei Darussalam (NBD) berkesempatan untuk mengongsikan beberapa input kepada Mesej AIPA.
Hasil daripada mesyuarat berkenaan, Mesej AIPA telah pun dipertimbangkan dan dipersetujui bersama secara sebulat suara.
Semasa Mesyuarat ASEAN-AIPA Leaders’ Interface kali Ke-13 diadakan, President of the National Assembly of Lao PDR selaku Presiden AIPA kali Ke-45 telah pun menyampaikan Mesej AIPA di hadapan Ketua-ketua Kerajaan Negara-negara Anggota ASEAN dan Ketua-ketua Delegasi Negara-negara Ahli AIPA.
Mesej AIPA berkenaan telah pun disambut baik dan direspons oleh beberapa Ketua-ketua Kerajaan Negara-negara Anggota ASEAN dan secara keseluruhannya telah mengambil baik usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh AIPA dan percaya peranan AIPA akan kekal relevan dalam merealisasikan matlamat ASEAN.
(sumber berita: Pelita Brunei)




