10.03.26 Raptai penuh Istiadat Pembukaan Rasmi

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 Mac. – Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi akan berlangsung pada Khamis, 12 Mac 2026 bersamaan 22 Ramadan 1447.

Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kelancaran majlis berkenaan nanti, raptai penuh diadakan pagi tadi bertempat di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, di sini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat bagi menyempurnakan istiadat pembukaan rasmi berkenaan nanti.

Hadir menyaksikan raptai penuh berkenaan, Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.

Turut hadir semasa raptai penuh berkenaan, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, serta pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat dan agensi-agensi yang terlibat dalam istiadat berkenaan nanti.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI