BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Mac. – Perubahan iklim terus menjadi cabaran utama bagi sektor pertanian dan perniagaan di negara ini. Ketidaktentuan cuaca serta peningkatan suhu bukan sahaja menjejaskan pengeluaran makanan tetapi juga memberi kesan kepada daya saing ekonomi tempatan.
Oleh yang demikian, peruntukan dalam Belanjawan Negara 2025 / 2026 merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan daya tahan sektor ekonomi negara. Dalam perkara ini, peruntukan lebih BND1 juta bagi pengurusan hal ehwal iklim Negara Brunei Darussalam (NBD) serta hampir BND295,000 bagi pengurusan hal ehwal Sustainable Development Goals (SDGs) juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani kesan perubahan iklim dan mengukuhkan sektor ekonomi yang lebih mampan.
Seiring dengan Wawasan Brunei 2035, mencapai kepelbagaian ekonomi yang mampan, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut menekankan keperluan transformasi ekonomi yang tidak hanya bergantung kepada satu sumber sahaja.
Oleh itu, bagi memastikan keberkesanan strategi ini dalam sektor pertanian dan perniagaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck ingin mengemukakan beberapa cadangan yang diharap dapat memperkukuhkan sektor ini.
Demikian antara yang diujarkan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Lau How Teck semasa dalam perbahasan Rang Belanjawan Tahun Kewangan 2025 / 2026, JPM pada persidangan hari kelapan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN yang diadakan di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Salah satu langkah yang boleh diberi perhatian, ujar Yang Berhormat ialah menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam pertanian. Kaedah seperti sistem pengairan automatik, teknologi AI untuk meramal ramalan cuaca serta penggunaan sensor tanah bukan sahaja dapat meningkatkan hasil pertanian tetapi juga membantu penggunaan kos operasi.
Selain itu, tambah Yang Berhormat lagi, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam bidang pertanian perlu diperkasakan bagi menghasilkan tanaman yang lebih tahan tahap perubahan cuaca, ini bukan saja dapat memastikan perbekalan makanan negara lebih stabil tetapi juga mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.
Oleh yang demikian, jelas Yang Berhormat, insentif kepada petani dan syarikat pertanian yang mengamalkan kaedah penanaman lestari juga wajar diberi perhatian. Dengan adanya sokongan sedemikian, sektor pertanian akan dapat berkembang dalam ekosistem yang lebih lestari dan berdaya saing.
“Dalam konteks perniagaan pula, usaha mempelbagaikan eksport ke pasaran seperti Chile, Mozambique, Columbia, Peru dan Mexico menunjukkan potensi besar untuk perniagaan tempatan berkembang ke peringkat antarabangsa. Oleh itu, bagi memastikan sektor perniagaan dapat berkembang dalam ekosistem yang lebih lestari adalah penting untuk menyediakan insentif ikhlas kepada syarikat yang mengambil insentif dalam mengurangkan perlepasan karbon atau beralih kepada tenaga yang diperbaharui.
“Langkah ini bukan sahaja dapat membantu syarikat mengenal pasti perubahan dalam pasaran global yang kini lebih menekankan aspek kelestarian tetapi juga menyokong agenda pembangunan hijau negara. Bagi memperkukuhkan lagi inisiatif ini, kaola mencadangkan agar kemudahan pembiayaan hijau diperluaskan kepada perniagaan dan ini beralih kepada teknologi mesra alam.
“Dengan adanya skim pembiayaan yang lebih menyeluruh, syarikat akan lebih bersedia untuk melaksanakan perubahan dalam operasi mereka tanpa kalangan kewangan yang besar,” ujar Yang Berhormat lagi.
Pada semasa ke semasa, tambah Yang Berhormat, persijilan hijau yang produk pertanian tempatan juga wajar diperkenalkan sebagai satu langkah untuk meningkatkan daya saing produk negara di peringkat antarabangsa. Persijilan ini bukan sahaja akan memudahkan akses produk tempatan ke pasaran luar tetapi diberi nilai tambahan kepada industri pertanian negara.
“Dalam perancangan ekonomi jangka panjang, jika negara berhasrat untuk menjadi hab dalam sektor kimia, perbuatan dan makanan, maka ‘maximise’ sokongan kepada syarikat tempatan perlu diperjelaskan dengan lebih mendalam. Ini termasuk memastikan syarikat tempatan bersedia beralih kepada amalan perniagaan yang lebih mampan agar dapat bersaing dengan pemain industri di peringkat global.
“Yang Berhormat Pengerusi, perubahan iklim bukan sekadar cabaran tetapi juga peluang untuk mengukuhkan daya saing sektor pertanian dan perniagaan serta menjana pertumbuhan ekonomi baharu dengan memastikan pembangunan ekonomi yang dasar hijau bergerak seiring dengan akan lebih bersedia untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 dengan asas ekonomi yang kukuh dan berdaya saing,” jelas Yang Berhormat.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




