BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Mac. – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh menjelaskan, memang ada perancangan daripada pihak ‘board examination’ yang menawarkan program ataupun ‘assessment’ ini untuk mengubahnya kepada satu peperiksaan yang mungkin mempunyai kandungan ataupun format pemeriksaan akan ada perubahan sedikit iaitu kepada IGCSE, ‘breadth’ dan juga ‘the depth’ dan ia mungkin akan berkuat kuasa dalam beberapa tahun lagi.
Perkara tersebut dinyatakan demikian pada hari kelapan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini berkaitan dengan pertanyaan yang diajukan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin berkaitan dengan ‘alternative assessment’ untuk ‘O’ Level, jika sudah ada rancangan Kementerian Pendidikan untuk beralih kepada ‘alternative assessment’ yang lain serta persediaan rancangan umpamanya dari segi latihan guru, kurikulum dan pengiktirafan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan seterusnya menjelaskan, ia memerlukan satu persiapan bukan sekadar daripada pihak guru-guru dan juga kurikulum tetapi mentaliti para pelajar kerana cara menjawab akan berubah daripada ‘level of difficulty’, kalau misalnya daripada ‘knowledge level’ kepada ‘comprehension level’, ia memerlukan satu persediaan yang sangat-sangat rapi.
Terdahulu, Yang Berhormat juga menjelaskan ia adalah mengenai dengan kaedah alternatif, tidak silap ia bukan sekadar laluan ‘alternative’ tetapi ia adalah jua mengenai dengan ‘assessment’. Pada masa ini, selain daripada ‘O’ Level, kanak-kanak ‘kitani’ mengambil ataupun menduduki Peperiksaan GCE ‘ O’ Level dan juga IGCSE.
Jadinya tambah Yang Berhormat pertanyaan ini adalah satu pertanyaan yang baik dan sangat sesuai ia diajukan pada ketika ini kerana kita pun baru mendapat penghebahan mengenai dengan pertukaran peperiksaan pada beberapa bulan yang lepas.
Oleh yang demikian, ujar Yang Berhormat lagi, pihak Kementerian Pendidikan akan terus berhubung dan bekerjasama dengan pihak yang berwajib yang menawarkan ataupun pihak yang menyediakan Board of Examination ini untuk memberikan lagi pencerahan-pencerahan dari segi kurikulum, dari segi format ‘assessment’ supaya ia akan dapat terus dibarigakan kepada pihak-pihak sekolah dan seterusnya kepada pelajar-pelajar.
Menyentuh mengenai dengan ‘alternative assessment’, Yang Berhormat menambah, perancangan Kementerian Pendidikan untuk mengadakan ujian dan penilaian mungkin akan sedikit berlainan daripada jawapan tadi iaitu mengenai dengan ujian penilaian yang lebih holistik dan inklusif, pada masa ini pihak Kementerian Pendidikan melalui unit EDGE ataupun Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat di bawah Jabatan Pendidikan Khas ada juga melaksanakan penggunaan Morrisby Platform.
Ia merupakan satu platform penilaian psikometrik untuk membantu pelajar-pelajar yang menunjukkan kecenderungan dan pencapaian akademik yang sangat baik dan cerdas dan berbakat. Ia mengenal pasti kekuatan dan kebolehan semula jadi pelajar.
Menurut Yang Berhormat, Profil Morrisby mengukur potensi, bukan kemahiran atau pengetahuan yang diperoleh dan tidak terlalu dipengaruhi oleh latar belakang pendidikan ataupun sosial.
Ia menyediakan garis besar yang komprehensif tentang pembentukan intelektual seseorang serta cara bagaimana kebolehan mereka digunakan. Sejak menggunakan platform ini bermula Julai 2022 terdapat 78 pelajar yang berumur 15 tahun ke atas telah melengkapkan Profil Morrisby dan 48 pelajar berumur 12 sehingga 14 tahun telah melengkapkan aspirasi Morrisby. Buat masa ini pihak Kementerian Pendidikan belum ada perancangan untuk melaratkan penggunaan Morrisby kepada semua pelajar seluruh negara.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




