BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 Oktober. – Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) meneruskan lagi Program Lawatan bagi Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke beberapa destinasi pelancongan di Daerah Brunei dan Muara, hari ini.
Lawatan ini adalah merupakan salah satu daripada beberapa siri lawatan yang telah diatur oleh pihak Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP bagi menyampaikan misi untuk mengangkat Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai destinasi pelancongan utama yang memelihara warisan budaya dan semula jadi, selaras dengan prinsip-prinsip kelestarian, di samping membudayakan sektor pelancongan yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Turut serta mengikuti lawatan tersebut ialah Setiausaha Tetap KSSUP, Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab serta beberapa pegawai kanan KSSUP.
Lawatan rombongan dimulakan dengan ke Muzium Maritim Brunei Darussalam yang merupakan repositori sejarah maritim yang mengandungi peninggalan artifak dan pertukangan maritim daripada pelbagai era. Muzium ini mempunyai tiga galeri di mana salah satu mempamerkan penemuan Kapal Karam Brunei pada tahun 1997.
Kapal Karam Brunei merupakan satu penemuan yang penting dalam sejarah maritim NBD kerana ia menggambarkan peranan NBD dalam perdagangan maritim dengan negara-negara luar pada akhir Abad Ke-15 sehingga awal Abad Ke-16 Masihi.
Rombongan tersebut meneruskan lagi lawatan ke Muzium Teknologi Melayu yang mempamerkan teknologi-teknologi tradisi yang digunakan oleh penduduk di Kampong Ayer dan masyarakat tempatan yang tinggal di kawasan darat. Dari Muzium Teknologi Melayu, lawatan diteruskan ke Jeti Queen Elizabeth II dengan menaiki Kapal Persiaran MV Sentosa.
Kapal tersebut menelusuri beberapa tempat menarik di sepanjang Sungai Brunei. Pulau Kaingaran, Pulau Chermin, dan Tanjung Kindana adalah antara tempat laluan pelayaran sungai yang mempunyai sejarah awal Kesultanan Brunei.
Selain itu, Lumut Lunting, Batu Gasing Awang Semaun, Pulau Sibungor dan Jong Batu yang mempunyai cerita rakyat yang menarik juga dilalui sepanjang pelayaran tersebut.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




