09.08.25 Penggubalan dasar, perancangan strategi dilaksanakan ikut keutamaan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Usul dan cadangan yang telah diajukan dan disumbangkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara (MMN) adalah amat dihargai dan disambut baik, dan akan diteliti dan dinilai kesesuaiannya secara terperinci dalam sebarang penggubalan dasar dan perancangan strategi yang akan dilaksanakan mengikut keperluan dan keutamaan.

Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berkata demikian dalam Perbahasan Usul Penangguhan pada hari terakhir Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Semasa sesi permesyuaratan ini, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan mendapati ada isu yang diutarakan telah ditimbulkan dua ke tiga tahun berturut-turut secara kebelakangan.

Apa yang penting menurut Yang Berhormat, pihak kementerian dengan tulus ikhlas mengalu-alukan kehadiran Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik yang berkenaan untuk bermuzakarah bagi membincangkan sebarang spesifik cadangan yang menjurus kepada bidang-bidang perusahaan yang berkaitan dengan sektor pertanian, perikanan, perhutanan dan pelancongan di negara ini, bagi kemajuan sektor-sektor ini dan bagi memastikan sektor-sektor ini mampu menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara dan juga menjana pekerjaan untuk anak-anak tempatan, khususnya kepada pertumbuhan sektor makanan dan pelancongan, selaras dengan usaha ke arah mempelbagaikan sumber ekonomi negara agar kita tidak hanya bergantung kepada hasil dari sektor minyak dan gas semata-mata.

Terdahulu itu, Yang Berhormat dengan tulus ikhlas merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua atas kepimpinan dan kewibawaan dalam mempengerusikan Persidangan MMN dengan penuh kebijaksanaan, kecekapan dan dedikasi sehingga membolehkan persidangan ini berjalan dengan jayanya dalam suasana yang penuh harmoni, kondusif dan produktif.

Yang Berhormat seterusnya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Yang Mulia Datin Jurutulis atas kecekapan mengatur agenda perbincangan dan perjalanan persidangan dengan tersusun dan lancar, dan juga kepada seluruh pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat Negara yang terlibat dalam sama-sama menjayakan permesyuaratan pada tahun ini.

Seterusnya, Yang Berhormat turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada rakan-rakan sejawatan dan juga kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dilantik, kerana telah memainkan peranan dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan cemerlang dan komited, menyuarakan isu-isu strategik dan mengusulkan cadangan serta pandangan-pandangan yang bernas dari peringkat akar umbi demi kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, sambil mengekalkan semangat muhibah, saling hormat-menghormati dan bermuzakarah dengan harmoni, selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN yang lalu.

“Dengan itu, kaola menyokong penuh terhadap Usul Penangguhan yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II dan menghargai usaha berterusan kementerian-kementerian yang terlibat dalam melaksanakan pelan strategik negara ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

“Sebelum mengakhiri, kaola juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf sekiranya ada tersuruk langkah mahupun kata-kata yang kurang manis sepanjang masa kita telah bersidang ini,” ujarnya lagi.

Yang Berhormat dalam ucapan penangguhan berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja akan sentiasa berada dalam kandungan sihat walafiat dan dalam kebahagian jua.

Tambahnya, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga negara kita dan seluruh rakyat akan sentiasa berada dalam perlindunganNya jua dan dikurniakan dengan nikmat kemajuan, pembangunan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan di bawah kepimpinan bijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

“Kaola juga berdoa mudah-mudahan Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua dan semua Ahli Yang Berhormat akan sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat dan mendapat rahmat dan inayah, dikurniakan umur yang panjang dan dengan izinNya jua,” ujarnya lagi.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI