BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong, Ketua Kampung Lumapas ‘B’ ketika membahaskan usul penangguhan menjelaskan, dalam Sesi Pertama Permesyuaratan Ke-21, tumpuan utama telah diberikan kepada pembentangan bajet negara, yang merupakan dokumen dasar fiskal paling penting dalam perancangan pembangunan negara.
Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad Ali menekankan keperluan supaya setiap perbelanjaan yang diperuntukkan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan berhemah, selaras dengan prinsip ketelusan, kecekapan dan keberkesanan.
Dalam suasana ekonomi global yang mencabar dan keperluan pengurusan kewangan awam yang berhemat, Yang Berhormat menegaskan bahawa kita tidak boleh mengambil ringan terhadap pengagihan sumber.
“Oleh itu, kaola menyokong sepenuhnya gesaan agar pihak-pihak berkaitan memastikan pelaksanaan bajet bukan sahaja memenuhi keperluan rakyat, malah memberikan pulangan ekonomi dan sosial yang mampan kepada negara,” tambah Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat seterusnya menggariskan bahawa cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli mengenai pelbagai aspek dasar dan perkhidmatan awam juga wajar diberikan perhatian serius oleh pihak eksekutif. Kita berharap ia tidak sekadar menjadi rekod mesyuarat, tetapi benar-benar dilaksanakan demi manfaat bersama.
Dalam usul perbahasan juga, Yang Berhormat menyentuh pembentangan satu usul penting yang melibatkan penyertaan dan keahlian Ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam badan antara-parlimen, iaitu Inter-Parliamentary Union (IPU) dan Commonwealth Parliamentary Association (CPA).
Usul ini jelas Yang Berhormat, mencerminkan hasrat negara untuk lebih terlibat secara aktif dalam diplomasi antara-parlimen, sekali gus memperkukuhkan peranan MMN di peringkat antarabangsa.
Dengan penglibatan dalam platform-platform ini, Yang Berhormat seterusnya menambah, Ahli-Ahli MMN akan dapat memperluas rangkaian dan kerjasama dengan institusi perundangan negara lain; memperoleh pengetahuan amalan terbaik (‘best practices’) dalam penggubalan dasar dan meningkatkan keupayaan dalam mendepani isu global yang juga memberi kesan kepada negara.
“Penyertaan ini secara tidak langsung akan meningkatkan keupayaan institusi perundangan negara kita dan menyumbang kepada pembangunan dasar yang lebih menyeluruh dan berpandangan jauh,” ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya membahaskan mengenai usul berkaitan Wawasan Brunei 2035, yang menjadi aspirasi utama negara untuk membina sebuah negara yang Berpendidikan Tinggi dan Berkemahiran; Ekonomi Yang Dinamik dan Berpendapatan Tinggi, dan; Berkualiti Hidup Tinggi.
Sebagai sebuah dokumen dasar yang menjadi panduan hala tuju pembangunan negara, tambah Yang Berhormat, Wawasan Brunei 2035 memerlukan kerjasama menyeluruh antara semua institusi dalam memastikan dasar dan inisiatif yang dilaksanakan benar-benar selari dengan matlamat tersebut.
“Kaola percaya bahawa dengan pengurusan bajet yang berhemah, penglibatan antarabangsa yang strategik, dan tumpuan kepada pembangunan jangka panjang melalui Wawasan Brunei 2035, negara kita akan terus maju secara mampan dan inklusif. Apa yang penting untuk memastikan bahawa segala dasar, strategi, dan pelaksanaan yang dirancang tidak hanya bersifat jangka pendek, tetapi dapat bertahan lama, relevan, dan memberi impak positif secara berterusan,” jelas Yang Berhormat.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




