09.08.25 MMN platform perbincangan dasar suara rakyat, ruang semak imbang

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck dalam pembentangan usul penangguhan menjunjung kasih setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keprihatinan baginda dalam memperkukuhkan MMN.

Menurut Yang Berhormat, titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Rasmi yang lalu menandakan keyakinan baginda terhadap kemampuan MMN sebagai platfom perbincangan dasar suara rakyat dan ruang semak imbang.

Sebagai Ahli Yang Dilantik, Yang Berhormat merasakan pengalaman kali ini dari mesyuarat pertama hingga mesyuarat kedua benar-benar mencabar dan memperkasa bukan setakat menyumbangkan pandangan dalam bidang kepakaran tetapi juga memperluas pemahaman terhadap keseluruhan jentera dasar dan tadbir urus negara.

“Dalam kapasiti kaola sebagai seorang terlibat secara langsung dalam sektor makanan dan pertanian, kaola ingin sekali lagi menarik perhatian kepada kepentingan sekuriti makanan yang juga telah dibincangkan dalam persidangan ini,” ujar Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat, Isu ini bukan sahaja berkait dengan ekonomi tetapi menyentuh kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara secara menyeluruh.

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengenai pertumbuhan sektor kemajuan bukan minyak dan gas tambah Yang Berhormat, adalah suatu galakan yang perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit termasuk dalam memperkasa sektor makanan negara.

“Kaola percaya bahawa untuk memastikan kejayaan dalam bidang ini, kita memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan semua stakeholders daripada kementerian, pengusaha, institut kewangan, penyelidik hingga kepada pengguna.

“Kita perlu merancang bukan sahaja untuk pengeluaran tetapi juga soal pemprosesan pemasaran eksport dan membangunkan tenaga kerja dalam bidang ini,” ujar Yang Berhormat.

Oleh demikian tambah Yang Berhormat, sokongan kepada pengusaha tempatan khususnya ‘agroprenuers’ dan pengusaha perusahaan makanan perlu ditingkatkan lagi dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berdaya saing.

Dalam konteks keusahawanan pula, Yang Berhormat berharap agar persekitaran perniagaan domestik terus diperkukuh termasuk penyerahan prosedur penyelarasan peraturan dan wujudnya ruangan perniagaan yang lebih inklusif terutama dalam peniaga kecil dan sederhana.

Menurut Yang Berhormat lagi, kita perlu memberi perhatian kepada ‘ease of doing business’ yang benar-benar memberi kesan kepada usahawan bukan hanya dalam bentuk dasar. Sepanjang persidangan ini juga, pelbagai pandangan dan cadangan telah dibawa oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dari pelbagai latar belakang yang memperlihatkan betapa pentingnya kepelbagaian suara dan mencerminkan realiti rakyat.

Sebagai seorang Ahli Yang Dilantik, Yang Berhormat mengambil maklum bahawa amanah ini bukan sekadar untuk membawa kepakaran dalam satu bidang tetapi juga menyumbang secara menyeluruh kepada kesejahteraan dan masa depan negara.

Yang Berhormat turut merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kepimpinan yang bijaksana dalam mempengerusikan persidangan ini dengan penuh tertib dan profesional serta kepada Jurutulis, semua kementerian dan pihak Urus Setia yang telah memberikan kerjasama terbaik dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan persidangan.

“Menjunjung kasih sekali lagi Kehadapan Majlis Kebawah DYMM atas segala titah dan kepimpinan baginda yang menjadikan panduan bukan sahaja dalam persidangan ini tetapi juga dalam memacu hala tuju negara ke arah negara yang lebih berdaya tahan dan makmur.

“Semoga baginda dan seluruh kerabat diraja sentiasa dikurniakan kesihatan dan kekal karar memerintah atas singgahsana,” ujar Yang Berhormat lagi.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI