09.08.25 MMN berperanan signifikan membincangkan perkara substantif

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. –  Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dalam ucapan penangguhan menjelaskan, segala urusan mesyuarat telah pun selesai  dan seterusnya menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN pada tahun ini, yang mana titah baginda itu bijaksana, amat teliti dan progresif, khususnya dalam memajukan peranan penting MMN dalam sistem pentadbiran awam negara.

Yang Berhormat juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan yang ikhlas kepada Ahli-ahli Yang Berhormat atas penyertaan, sokongan dan kerjasama yang telah diberikan pada musim permesyuaratan tahun ini dan juga ucapan setinggi-tinggi terima kasih serta penghargaan yang ditujukan khusus kepada Jurutulis MMN, Pemangku Timbalan dan Penolong Jurutulis, Bentara-bentara Dewan, serta semua pegawai dan kakitangan yang telah terlibat, termasuk mereka yang ditugaskan daripada kementerian, jabatan dan agensi-agensi yang berkenaan atas usaha gigih dan komitmen tinggi yang dicurahkan dalam menyediakan pelbagai keperluan yang membolehkan kita menyelesaikan segala urusan mesyuarat dengan lancar dan teratur.

“Alhamdulillah, Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN telah selesai kita laksanakan dengan selamat dan sempurna selama lima hari dan secara keseluruhannya 19 hari pada tahun ini,” kata Yang Berhormat pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Tambah Yang Berhormat lagi, berkat titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, ini adalah kali pertama MMN menjalankan Mesyuarat Kedua dan dalam mesyuarat berkenaan telah berjaya menyelesaikan beberapa perkara utama termasuk empat perbahasan usul, 196 pertanyaan kepada menteri-menteri dan satu Kenyataan Menteri.

Dengan berkat kerjasama dan sokongan semua jelas Yang Berhormat, mesyuarat berkenaan telah berlangsung dalam suasana yang harmoni, muhibah dan saling hormat-menghormati, selaras dengan konsep Melayu Islam Beraja.

Mesyuarat Kedua ini kata Yang Berhormat lagi, telah membuktikan bahawa majlis ini berpotensi untuk memainkan peranan yang signifikan dalam membincangkan perkara-perkara substantif demi kepentingan rakyat dan negara.

“Saya begitu tertarik dengan apa yang telah dibincangkan sewaktu sesi MMN ini, nampaknya Ahli-ahli Yang Berhormat berkeupayaan untuk terlibat dalam perbincangan yang lebih substantif.

“Saya nampak bahawa Ahli-ahli Yang Dilantik berusaha untuk memainkan peranan dalam semak imbang termasuk membantu kerajaan melalui cadangan-cadangan bagi perkara-perkara yang mungkin kurang diberi perhatian atau mungkin juga terlepas pandang.

“Ahli-ahli Rasmi Kerana Jawatan juga berusaha untuk memperjelaskan perancangan dan memberikan beberapa perkongsian status termasuk masalah-masalah dan isu-isu yang dihadapi.

“Usaha Ahli-ahli Yang Berhormat dalam memainkan peranan bersama ini adalah penting dan sememangnya wajar kita galas untuk memastikan semua pihak bergerak seiring dalam menyokong agenda pembangunan negara termasuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035,” ujar Yang Berhormat.

Dalam ucapan penangguhan berkenaan, Yang Berhormat merasakan perbincangan di dalam Dewan yang mulia kali ini adalah lebih ‘vibrant’ kerana kita mungkin berlainan pendapat tetapi untuk menghayati konsep ‘agree to disagree’ ia masih lagi dengan saling menghormati pandangan yang berbeza.

Yang Berhormat juga dapat melihat bahawa walaupun ada perbezaan pandangan dan pendapat, kita masih boleh duduk berbincang secara terbuka dan matang, berteraskan maklumat yang jelas, tersusun dan berasas.

Dalam pada itu, Yang Berhormat ingin menyarankan kepada Ahli-ahli MMN bahawa setiap hujah yang dikemukakan di dewan yang mulia ini, perlu berlandaskan kepada fakta dan data yang sahih dan kredibel, bukannya andaian kerana hanya dengan berhujah berdasarkan fakta, kita dapat memastikan sesi perbahasan dijalankan dengan penuh profesionalisme dan adab sebagai ‘intellectual exchange’.

Di samping itu, Yang Berhormat juga amat menghargai bahawa pelbagai usaha telah pun dijalankan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam mendekatkan diri kepada rakyat.

“Oleh itu, saya ingin menyarankan agar usaha-usaha ini terus diperkasa dan dipertingkatkan, khususnya melalui pelbagai bentuk dialog, perbincangan serta program jangkauan (outreach) yang menyeluruh dan berterusan.

“Saya kira inilah antara pendekatan terbaik untuk mendapatkan pandangan serta maklum balas mengenai isu-isu semasa dan pelaksanaan dasar kerajaan secara langsung daripada rakyat.

“Saya penuh berharap bahawa melalui usaha-usaha sedemikian, Dewan yang mulia ini akan terus membincangkan perkara-perkara yang dekat di hati rakyat. Saya menyeru agar Ahli-ahli MMN untuk sentiasa bersatu sebagai wadah suara nurani rakyat, berganding bahu dan berganding tenaga dengan iltizam yang tinggi untuk memelihara kesatuan dan perpaduan sebagai rakyat Negara Brunei Darussalam, demi mengekalkan keamanan, kestabilan dan kedamaian negara yang kita cintai bersama,” ujar Yang Berhormat.

Sebagai Yang Di-Pertua, Yang Berhormat juga mengambil kesempatan untuk memberikan peringatan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat serta semua yang hadir mengenai kenyataan Yang Berhormat Menteri Kesihatan yang mengingatkan kita bahawa kesihatan adalah kekayaan atau ‘health is wealth’.

Ini tambah Yang Berhormat adalah benar, kerana kekuatan sebenar dalam kehidupan ini hanya dapat dirasai apabila kita dikurniakan tubuh badan yang sihat. Oleh itu, marilah kita semua membudayakan amalan hidup sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang, melakukan aktiviti fizikal secara konsisten, serta menjaga kesihatan mental demi memperkukuh daya ketahanan diri.

Yang Berhormat turut menekankan, Islam juga menyeru umatnya agar sentiasa menjaga kesihatan tubuh badan serta mengamalkan gaya hidup yang sihat dan kehidupan yang sihat merupakan satu amanah yang perlu dipelihara dalam hubungan kita sebagai hamba dengan Allah Subhanahu Wata’ala.

Oleh itu kata Yang Berhormat, jaga diri baik-baik dan semoga semua sentiasa sihat walafiat selalu.

Akhir sekali, Yang Berhormat memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Kebawah DYMM serta kerabat diraja akan sentiasa sihat walafiat dan di bawah perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala jua, dan semoga negara kita serta seluruh rakyatnya akan sentiasa berada di bawah perlindungan-Nya dengan dikurniakan nikmat keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan. Aamiin Ya Rabbal Alamiin.

“Dengan ucapan ini, maka mengikut Peruntukan 35 dari Peraturan-peraturan Mesyuarat bagi MMN, maka MMN ini kita tangguhkan ke satu masa yang belum ditetapkan tarikhnya.

“InsyaaAllah, kita akan berjumpa lagi,” ujar Yang Berhormat mengakhiri ucapan penangguhannya.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI