09.08.25 Mengembangkan ekosistem perlindungan kanak-kanak

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) mengambil baik cadangan dan mengambil maklum keperluan untuk mempercepatkan proses semakan dan pindaan akta-akta mengikut keperluan semasa yang menangani keperluan perlindungan kanak-kanak daripada sebarang eksploitasi.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad menyatakan perkara tersebut semasa menjawab pertanyaan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam mengenai langkah pihak kementerian untuk mempercepatkan proses semakan dan pindaan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Penggal 219) serta undang-undang berkaitan untuk menutup jurang perundangan terhadap bentuk penderaan moden termasuk eksploitasi digital dan penderaan psikologi.

Pada hari terakhir Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengongsikan mengenai beberapa platform dan langkah yang telah dan sedang diambil oleh KKBS dalam menangani kes-kes sedemikian.

Pertama, menurutnya, pengukuhan Rangka Kerja Kebangsaan Perlindungan Kanak-Kanak atau National Framework in Child Protection (NFCP) sebagai panduan kebangsaan untuk mengembangkan ekosistem perlindungan kanak-kanak termasuk memperkukuh kerjasama antara agensi-agensi utama.

Tambahnya, antara agensi-agensi dari berbagai sektor yang terlibat termasuk bagi sektor sosial iaitu pekerja sosial JAPEM, Penghulu Mukim, Ketua Kampung, NGO dan juga orang-orang awam; bagi sektor pendidikan iaitu pengetua, guru-guru, kaunselor, penjaga pusat penjagaan kanak-kanak dan di bawah Jabatan Sekolah-Sekolah, Jabatan Pendidikan Swasta, Jabatan Pengajian Islam, sekolah-sekolah tahfiz dan arab; bagi sektor penguatkuasaan iaitu Pasukan Polis Diraja Brunei, Biro Kawalan Narkotik dan Penguatkuasaan Ugama; dan bagi sektor kesihatan iaitu pegawai perubatan profesional, pekerja perubatan sosial, hospital-hospital kerajaan dan swasta.

Agensi-agensi ini jelasnya, memainkan peranan penting dalam perlindungan kanak-kanak, termasuk perlindungan daripada eksploitasi digital dan penderaan psikologi, serta bertindak sebagai barisan hadapan dari segi pengesanan awal, pendekatan dan pelaporan.

Menurut Yang Berhormat, ia turut diperkukuhkan melalui beberapa mekanisme di bawah NFCP termasuk Sectoral Assessment Protocol (SAP), iaitu mekanisma untuk mengenal pasti kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan bagi memudahkan dalam menjalankan intervensi awal terhadap aduan-aduan yang diterima; dan Child Protection Reporting Protocol (CPRP), iaitu tatacara bagi setiap sektor mengenal pasti tindakan selanjutnya. Kedua-dua SAP dan CPRP mempunyai 4 versi bagi keempat-empat agensi utama.

Seterusnya Yang Berhormat menjelaskan, Rangka Kerja Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian (Child Online Protection Framework) telah diperkenalkan pada tahun 2013, berasaskan Inisiatif Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian oleh International Telecommunications Union (ITU).

Rangka kerja ini tambahnya, penting bagi menyelaras tindakan agensi-agensi berkepentingan dalam melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya, khususnya ketika penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin meluas dan terdedah kepada risiko buli siber, gangguan serta pemangsa seksual.

Pada masa ini ujarnya, rangka kerja tersebut sedang melalui proses perbincangan bagi tujuan semakan dan penambahbaikan agar selaras dengan keperluan semasa.

Mengenai saranan semakan dan pindaan akta bagi menutup jurang perundangan terhadap kes-kes eksploitasi digital dan penderaan psikologi, Yang Berhormat menjelaskan, beberapa perundangan sedia ada bagi menangani kes-kes ini, ialah seperti pertama, Seksyen 509 Penal Code – Outraging modesty of a woman bagi kes yang melibatkan seorang wanita/remaja perempuan; dan kedua, Seksyen 506 Penal Code boleh digunakan bagi kes yang melibatkan kanak-kanak secara umum seperti kes ugutan dalam talian.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI