BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah mengenal pasti beberapa tapak di bawah kawalan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk dibangunkan sebagai destinasi aktiviti agripelancongan.
Bagi memastikan kejayaan inisiatif ini, langkah awal adalah untuk menyediakan para pengusaha ladang agar produk mereka bersedia bagi tujuan agri pelancongan.
Sehubungan itu, beberapa latihan pembangunan kapasiti telah diberikan termasuk penambahbaikan produk dan mempromosi pakej agripelancongan kepada pelancong serta pihak berkepentingan.
Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berkata demikian dalam pertanyaan jawab lisan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin mengenai langkah-langkah memperkenalkan pendapatan agripelancongan di negara ini pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat lagi, bayaran yang telah diterima daripada aktiviti pelancongan ini akan menjadi sumber pendapatan sampingan kepada pengusaha ladang. Walau bagaimanapun, waktu operasi aktiviti pelancongan akan dikawal selia supaya tidak menjejaskan rutin harian dan operasi utama ladang dan kekal berfokus kepada pengeluaran hasil pertanian.
Antara perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan di beberapa ladang yang telah dikenal pasti di negara ini bagi aktiviti agripelancongan tambah Yang Berhormat adalah program melawat ladang (farm tour) aktiviti memetik buah-buahan dan sayur sayuran (fruit and vegetables picking) serta aktiviti lain yang memberikan pengalaman kehidupan di ladang.
“Ladang-ladang yang masa kini aktif dalam agripelancongan termasuklah Mori Farm di Sinaut, IAM Food di Tungku, Labulicious di Lamunin, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Katimahar di Daerah Brunei dan Muara, Ecoponies di Daerah Tutong dan Ladang Kopi Tropikal Utama di Labi.
“Dari segi promosi, laman ‘web’ dan media sosial rasmi memaparkan pelancongan tapak-tapak agripelancongan ini dengan kandungan visual dan testimoni pelawat-pelawat.
“Beberapa lawatan pengenalan, ‘farm trip’ bersama agensi pelancongan ‘influencer’ ataupun pempengaruh dan media telah dijalankan,” ujar Yang Berhormat.
Di samping itu kata Yang Berhormat lagi, pakej pelancongan yang melibatkan lawatan ladang telah dirangka bersama agensi pelancongan tempatan dengan kerjasama hotel, penyedia pengangkutan dan institut pendidikan bagi menyokong program lawatan sambil belajar.
Walau bagaimanapun jelas Yang Berhormat, walaupun agripelancongan ini digalakkan tapi peningkatan pengeluaran hasil ladang pertanian masih lagi menjadi keutamaan bagi Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




