09.08.25 Memperkasa keluarga penyayang, kukuh, berdaya tahan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Kita dapat melihat beberapa perkembangan positif berkaitan usaha-usaha kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan. Walau bagaimanapun, kita memahami bahawa bukanlah mudah untuk merealisasikan semua perancangan tersebut di dalam tempoh masa yang singkat.

Apa yang pasti, tanggungjawab kita adalah memberi sokongan padu sama ada melalui sumbangan buah fikiran mahupun bantuan di dalam kapasiti dan tanggungjawab masing-masing,

Di dalam usaha memenuhi aspirasi matlamat strategik dan haluan dasar Social Blueprint Negara Brunei Darussalam (NBD) khususnya ke arah memperkasa keluarga yang penyayang, kukuh dan berdaya tahan serta membangun masyarakat yang pemedulian, inklusif dan saksama, masih terdapat keluarga di dalam masyarakat kita yang hidup dalam kesusahan dan memerlukan keprihatinan sewajarnya.

Perkara berkenaan dijelaskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir semasa membentangkan usul penangguhan pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat lagi, isu keluarga yang tinggal dalam keadaan daif tetapi tidak layak menerima bantuan rumah kerana tanah yang diduduki bukan milik sendiri. Walaupun tergolong sebagai fakir atau miskin, kekangan status tanah menjadi halangan utama bak kata pepatah Melayu, ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’.

Sebagai pemimpin di peringkat akar umbi tambah Yang Berhormat, kita tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai permasalahan rakyat yang kian mendesak.

“Kaola memahami kepentingan pemilikan tanah dari segi undang-undang namun menyeru agar penyelesaian yang lebih fleksibel dan berperikemanusiaan dilaksanakan. Antara cadangan termasuklah mekanisme khas seperti perjanjian sewaan jangka panjang atau kebenaran menduduki sementara, memperkukuh kerjasama antara agensi berkaitan dan institusi akar umbi serta menggubal dasar jangka panjang supaya bantuan tidak terhalang oleh isu pemilikan tanah khususnya dalam kes warisan atau penempatan turun temurun.

“Dengan pendekatan inklusif ini, diharap tiada lagi keluarga terus hidup dalam keadaan daif akibat kekangan birokrasi yang boleh ditangani dengan bijaksana,” ujar Yang Berhormat.

Dalam memperkatakan keselamatan sosial, Yang Berhormat menyuarakan kebimbangan terhadap pengaruh dunia digital yang jika tidak dikawal, boleh memberi kesan negatif serius kepada masyarakat khususnya golongan muda dan keluarga. Berdasarkan analisis, situasi semasa Social Blueprint NBD, akses teknologi digital dan internet semakin meluas antara 2012 hingga 2022, pengguna telefon bimbit meningkat 12.5 peratus kepada 528,723. Manakala penembusan jalur lebar tetap naik kepada 85.89 peratus. Ini menunjukkan rakyat Brunei semakin terhubung secara digital termasuk kanak-kanak menjadikan pengawasan penggunaan teknologi amat penting bagi melindungi kesejahteraan mereka.

Yang Berhormat juga menekankan bahawa penggunaan teknologi digital oleh kanak-kanak perlu sentiasa diawasi, peranan ibu bapa memastikan penggunaannya tidak melebihi sehingga menjejaskan perkembangan minda. Tingkah laku dan emosi kanak-kanak, jika dibiarkan, ia boleh menganggu hubungan keluarga, melemahkan tumpuan pembelajaran dan menghakis nilai kekeluargaan.

“Sehubungan itu, kaola mencadangkan agar digubal satu akta khusus bagi menangani pengabaian digital oleh ibu bapa atau penjaga.

“Akta ini perlu bersifat pencegahan dan pemulihan termasuk menetapkan garis panduan keibubapaan digital menyediakan program bimbingan dan kaunseling serta mewujudkan mekanisme aduan dan pemantauan oleh pihak berwajib.

“Kaola yakin langkah ini akan membentuk masyarakat yang lebih peduli dan bertanggungjawab selaras dengan matlamat Social Blueprint NBD dalam memperkasa keluarga yang penyayang, kukuh dan berdaya tahan,” kata Yang Berhormat.

Tambah Yang Berhormat, Daerah Temburong kini sedang menikmati arus perubahan yang amat ketara hasil daripada pelbagai inisiatif pembangunan yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Antara mercu tanda utama kepada transformasi ini ialah pembinaan dan pembukaan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang bukan sahaja menghubungkan Temburong dengan wilayah utama negara, malah turut membuka ruang baharu kepada pembangunan infrastruktur ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

Salah satu contoh jelas kepada impak positif ini kata Yang Berhormat, ialah pembinaan bangunan BIBD Connects yang kini menyediakan akses kemudahan perbankan moden kepada penduduk tempatan termasuk perkhidmatan digital dan kewangan Islam yang mesra pelanggan. Ini turut merancakkan aktiviti sosioekonomi memudahkan urusan perniagaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, komuniti di Temburong.

Ini tambah Yang Berhormat, merupakan satu bentuk usaha sama secara bersepadu antara pihak kerajaan dengan sektor swasta yang secara langsung melibatkan rakyat sebagai penggerak utama kepada pembangunan sosioekonomi Daerah Temburong.

“Kaola amat yakin bahawa dengan sokongan infrastruktur yang kian lengkap serta kemudahan asas yang bertambah baik, Daerah Temburong berpotensi untuk berkembang sebagai sebuah daerah yang berdaya saing khususnya dalam sektor pelancongan alam semula jadi, pertanian moden dan keusahawanan komuniti.

“Ke arah meningkatkan akses kemudahan sosial bagi penduduk di Daerah Temburong penyediaan kemudahan infrastruktur yang moden dan menyeluruh adalah sangat penting. Usaha ini bukan sahaja memudahkan kehidupan harian rakyat, tetapi juga bertujuan menggalakkan pelabur tempatan dan luar negara untuk melabur di daerah ini.

“Dengan adanya kemudahan asas seperti jaringan jalan raya yang baik, sistem bekalan air dan elektrik yang stabil serta kemudahan digital dan perbankan yang canggih, Daerah Temburong akan menjadi lebih kompetitif dan berdaya tarik sebagai destinasi pelaburan baharu dan secara langsung, ini juga akan menyokong inisiatif-inisiatif untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi di Pekan Bangar menjadikannya lebih aktif, berdaya saing dan seterusnya memberi limpahan manfaat kepada masyarakat tempatan dari segi peluang pekerjaan, keusahawanan pembangunan komuniti,” ujar Yang Berhormat lagi.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI