BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Laluan kerjaya yang diperuntukkan khusus bagi tenaga-tenaga pengajar di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) adalah melalui Skim Perkhidmatan Guru Ugama (SPGU) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2017 sebagai kesinambungan kepada skim perkhidmatan yang ada sekarang.
Pembarigaan mengenai skim ini telah dilaksanakan kepada semua guru termasuk pemimpin-pemimpin sekolah, dan ia dibarigakan sejak tahun 2017 secara berterusan, bukan bermusim, tetapi secara berterusan terutama termasuk bagi guru-guru baharu khususnya semasa sesi induksi tenaga pengajar.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa mengulas soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin mengenai memperbaiki dasar penilaian dan laluan kerjaya Warga Pendidikan.
Pada hari terakhir Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menjelaskan, satu inisiatif tambahan telah dilaksanakan dengan penyediaan kod QR, di mana memberikan akses mudah kepada tenaga pengajar untuk mendapatkan penjelasan yang terperinci berhubung perkembangan proses sokongan (SPGU) itu.
KHEU pada masa ini tambahnya, sedang dalam proses seterusnya menilai garis panduan (SPGU) ini bagi memastikan skim ini lebih berdaya tahan dan kekal berkesan dengan keperluan semasa dan yang penting sekali untuk masa hadapan seterusnya.
Terdahulu itu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyatakan, KHEU menghargai inisiatif sebahagian Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana telah melaksanakan kaji selidik warga pendidik pada tahun 2024 yang lalu di mana hasilnya telah dikongsikan kepada KHEU dan juga difahami kepada Kementerian Pendidikan.
Hasil daripada laporan kajian tersebut menurutnya, diambil maklum bahawa seramai 52 peratus daripada kalangan guru berpendapat bahawa proses penilaian dan kenaikan pangkat tidak jelas, dan atau tidak telus.
Dalam pada itu, pihak KHEU juga mengambil maklum bahawa kaji selidik tersebut telah melibatkan seramai 427 guru yang mana hanya 29 peratus daripadanya merupakan guru-guru daripada KHEU.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




