09.08.25 Memastikan pembangunan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub berkata isu kenaikan harga barang pada masa ini sering menjadi topik perbincangan dalam kalangan rakyat kerana ia memberikan kesan langsung terhadap kos sara hidup harian.

Menurut Yang Berhormat, keadaan ini menjadi lebih membebankan apabila mengambil kira bahawa negara kita banyak bergantung kepada barangan import dari luar negara termasuk barang mentah yang menjadi keperluan asas harian. Sebagai langkah mengawal perbelanjaan, kita perlu mengamal gaya hidup jimat cermat dengan berbelanja mengikut keperluan.

Dari sudut ekonomi tambah Yang Berhormat, kenaikan harga barang boleh menyumbangkan kepada pertumbuhan ekonomi negara termasuk memberikan peluang kepada peniaga dan keuntungan pengusaha tempatan namun pengguna tetap bijak memilih barang berkualiti dengan harga berpatutan. Kerajaan perlu sentiasa memantau kemasukan barang murah yang tidak selamat dan berpotensi membahayakan pengguna.

“Kaola menyokong usaha pihak berkaitan memberikan peringatan kepada orang ramai tentang pentingnya berhati-hati ketika membeli atau mengimport barang secara berterusan melalui siaran televisyen. Langkah ini juga perlu dipertingkatkan dengan memantau secara langsung melalui kaedah turun padang,” ujar Yang Berhormat dalam ucapan penangguhan pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat seterusnya berkata dalam merancang kemajuan negara, aspek kesaksamaan perlu menjadi keutamaan, terutamanya dalam memastikan pembangunan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan.

Menurut Yang Berhormat, usaha ini adalah penting sebagai sebahagian daripada langkah strategik ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Tambah Yang Berhormat, pembangunan luar bandar yang seimbang penting untuk mengurangkan jurang bandar dan luar bandar, dan memastikan manfaat pembangunan dinikmati seluruh negara, termasuk aspek kesihatan, infrastruktur, teknologi, dan kemudahan awam.

“Pelan strategik perlu dirangka untuk merancakkan semula kawasan pedalaman yang mengalami penyusutan populasi akibat penghijrahan ke kawasan baharu seperti Skim Perumahan Negara.

“Usaha bersepadu perlu menarik kembali penduduk, terutama golongan muda, dengan sokongan infrastruktur, peluang ekonomi, dan kemudahan moden melalui langkah pemberian insentif kediaman, iaitu subsidi pembinaan atau pembaikan rumah dan potongan bayaran utiliti untuk penduduk di kawasan pedalaman melalui Skim Perumahan Negara baharu di kawasan kemajuan luar bandar,” kata Yang Berhormat.

Ini kata Yang Berhormat merupakan salah satu matlamat utama dan memastikan keselesaan rakyat secara menyeluruh.

Bagi mencapai sasaran tersebut jelas Yang Berhormat lagi, pihak kerajaan hendaklah melaksanakan beberapa inisiatif strategik, termasuk usaha meramaikan semula kawasan luar bandar melalui pembangunan perumahan yang terancang dan bersepadu.

“Langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk menyediakan kediaman yang selesa dan mampu milik, malah juga untuk menghidupkan semula komuniti kampung yang semakin menyusut akibat penghijrahan ke kawasan perumahan baharu,” terang Yang Berhormat.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat turut menyentuh kepentingannya meningkatkan keselamatan jalan raya khususnya dalam penyediaan dan penyelenggaraan papan tanda arah jalan. Banyak papan tanda yang di kawasan swasta tidak diselenggarakan dengan baik menyebabkan kekeliruan dan risiko kemalangan.

Langkah ini kata Yang Berhormat penting untuk memastikan kelancaran trafik dan mencegah kemalangan sejajar dengan peningkatan jumlah pengguna jalan raya demi keselamatan dan kesejahteraan semua.

“Kaola mencadangkan. Pertama, lakukan audit dan pemantauan berkala terhadap papan tanda termasuk di kawasan swasta; kedua, tetapkan garis panduan dan tanggungjawab menyelenggarakan bagi pemilik premis; dan ketiga, galakkan penggunaan papan tanda pintar atau reflektif yang tahan cuaca dan mudah dilihat terutama waktu malam.

“Sementara itu, berkenaan dengan tempat rekreasi yang semakin popular untuk aktiviti sihat seperti ‘hiking’ dan juga berjalan santai namun aspek keselamatan perlu diberikan perhatian.

“Pemantauan dan penyelarasan berterusan dari pihak berkaitan penting untuk memperkukuhkan keselamatan tempat rekreasi bagi kesejahteraan penduduk,” ujar Yang Berhormat.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI