09.08.25 Memantapkan ekosistem ekonomi tempatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin menjelaskan, walaupun enam aspirasi utama ke arah ekonomi mampan telah digariskan dalam Pelan Induk Ekonomi Negara, pelaksanaannya masih belum benar-benar menyentuh akar masyarakat.

Menurut Yang Berhormat, realiti semasa menuntut dasar yang lebih berpaksikan komuniti, bermula dengan mendengar suara rakyat, tanpa menangani isu asas kehidupan, transformasi sukar dicapai dan golongan paling terkesan wajar menjadi pemula perubahan.

“Maka, penubuhan pasukan tindakan rentas agensi amat penting bagi memastikan dasar sampai ke komuniti terbawah. Tanpa asas kukuh di akar umbi, pelan dari atas hanya menjadi ‘structure’ rapuh,” ujar Yang Berhormat semasa menyampaikan ucapan Usul Penangguhan pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Jika jurang ini dibiarkan tambah Yang Berhormat, aspirasi ketiga Wawasan Brunei 2035 terancam dan luar bandar terus ketinggalan.

Untuk memperkukuh akar ekonomi rakyat, besar harapan Yang Berhormat bagi mencadangkan pelaksanaan pendekatan ‘decentralisation of ecosystem’, ekosistem keusahawanan menerusi penubuhan Pusat Satelit Ekonomi di setiap daerah.

“Pusat ini akan berperanan sebagai pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan seperti pendaftaran perniagaan, latihan keusahawanan, bimbingan digital, pensijilan halal serta kemudahan akses, kemudahan akses kepada pembiayaan.

“Pendekatan ini sejajar dengan konsep ‘District Economic Specialisation’ yang membolehkan daerah membentuk kluster ekonomi tersendiri berasaskan potensi tempatan,” ujar Yang Berhormat.

Tambah Yang Berhormat lagi, inisiatif ini dijangka memberi impak kepada tiga kumpulan utama, yang pertama, usahawan belia yang kini boleh mengakses peluang tanpa bergantung sepenuhnya kepada kemudahan di ibu negara.

Yang kedua jelas Yang Berhormat, perniagaan keluarga dan industri kecil termasuk ‘cottage industry’ yang akan dibantu dari segi pengukuhan kapasiti dan daya saing eksport; dan ketiga, komuniti setempat melalui pembentukan koperasi moden bagi mengurus aktiviti ekonomi bersama termasuk pengendalian kedai runcit dan produk 1 Kampung 1 Produk secara lebih tersusun dan bersepadu.

Dalam rangka kerja ini jelas Yang Berhormat lagi, kerjasama erat dengan pihak berkepentingan amat penting untuk memperkukuh ekosistem ekonomi tempatan dan sudah tiba masanya kita memperkasa pemilikan ekonomi rakyat dengan mengambil semula operasi perniagaan yang dikuasai warga asing tanpa memberikan peluang jelas kepada ekonomi tempatan.

“Ini memerlukan strategi baharu yang lebih berdaya saing dan tersusun. Bukan sahaja bagi menjamin kelangsungan ekonomi negara, tetapi juga memastikan keberkesanan serta pemilikan ekonomi benar-benar berada di tangan rakyat.

“Segala usaha yang digariskan kepada pengukuhan institusi pelaburan, strategik sehingga kepada ‘decentralisation’ ekonomi hanya akan bermakna jika berpaksikan kepada rakyat”.

Maka tambah Yang Berhormat, apa jua yang kita bincangkan, sama ada berkaitan reformasi dasar, pelaksanaan belanjawan atau isu sosial, semuanya kembali kepada satu matlamat utama, meninggikan taraf hidup rakyat dan menjayakan Wawasan Brunei 2035. Setiap rakyat berhak menjadi penggerak utama pembangunan negara, bukan sekadar menerima manfaat.

Yang Berhormat mengulangi bahawa segala teguran, pandangan dan cadangan yang dikemukakan atas dasar bertanggungjawab bersama dengan niat yang satu, insyaaAllah, untuk melihat Negara Brunei Darussalam menjadi lebih maju, sejahtera dan sentiasa dalam rahmat Allah.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI