BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Kementerian Pendidikan mempunyai pelbagai peranan dalam membentuk kehidupan pelajar, memastikan kesejahteraan mereka, dan menyediakan mereka untuk masa hadapan.
Dalam hal ini, pelajar dipantau secara aktif bagi mengelakkan mereka tercicir daripada sistem pendidikan, melalui pelbagai usaha dan sistem penjejakan seperti Cohort Tracking, Sistem Pengurusan Kehadiran Pelajar, Program Harapan dan Program Anak Harapan, dan Program Ri’ayah Wa Mahabbah untuk memantau pelajar berprestasi rendah dan berisiko keciciran.
Perkara demikian dijelaskan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh semasa menyampaikan Ucapan Penangguhan pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.
“Ke arah menangani isu ketidakpadanan program, pengangguran graduan, dan penyejajaran industri, Kementerian Pendidikan memperjuangkan pendekatan senegara serta komprehensif, yang menekankan pendidikan berkualiti, pembangunan kemahiran, dan kerjasama erat dengan pelbagai pihak berkepentingan,” ujar Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat, usaha-usaha ini dipandu oleh ketiga-tiga ‘Blueprint’ dan Pelan Strategik kementerian, yang bertujuan untuk mentransformasikan Negara Brunei Darussalam menjadi ekonomi yang dinamik dan mampan dengan tenaga kerja siap siaga masa depan.
Pelbagai usaha memperkukuh kebolehpasaran graduan TVET jelas Yang Berhormat, Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah melaksanakan skim khas untuk melibatkan tenaga pengajar dari industri.
Di Politeknik Brunei terangnya, seramai 35 pengajar industri telah dilantik di bawah skim Locum Tenens bagi tempoh Januari hingga Disember 2025.
Manakala di IBTE tambah Yang Berhormat, seramai 21 tenaga pengajar dari industri telah dilantik melalui skim Adjunct Lecturer merentasi pelbagai bidang teknikal dan profesional.
Yang Berhormat menjelaskan, pendekatan ini bukan sahaja memberi pendedahan dunia sebenar kepada pelajar, malah membantu memudahkan penyesuaian mereka ke alam pekerjaan melalui pengalaman praktikal yang diperoleh semasa pengajian.
Menyentuh mengenai jurang kelayakan guru, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah sistematik untuk menyelaraskan kualiti pendidikan awal melalui penetapan garis panduan formal, program latihan profesional, piawaian kurikulum, serta pemantauan dan pengawalan institusi pendidikan swasta.
“Bagi mengurangkan jurang dalam kelayakan minima tenaga pengajar di institusi pendidikan awam dan swasta, inisiatif yang diungkayahkan oleh Kementerian Pendidikan seperti Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD), serta piawaian Brunei Teachers Standard-Teacher Performance Appraisal (BTS-TPA) bagi menanda aras kualiti pengajaran dan pembelajaran, turut dilaratkan kepada guru-guru dan pemimpin sekolah di institusi pendidikan swasta dan di institusi pendidikan di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama,” ujar Yang Berhormat.
Terdahulu, Yang Berhormat merakamkan setinggi tahniah kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua dalam mengepalai permuzakarahan, memberikan pandangan dan saranan yang bernas serta luas mengenai perkara-perkara strategik merentasi semua bidang-bidang berkepentingan negara.
Setinggi penghargaan juga Yang Berhormat ucapkan kepada Yang Mulia Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis serta pegawai-pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam memastikan keberkesanan tadbir urus dan kelancaran di sepanjang permesyuaratan pada tahun ini serta menghargai sepenuhnya keprihatinan yang mendalam rakan-rakan seperjawatan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik, menerusi saranan dan pandangan terhadap isu-isu yang sangat bermakna kepada kerajaan khususnya berkaitan sektor pendidikan.
Yang Berhormat menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda bagi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini untuk diadakan dua kali setahun mulai tahun ini.
Natijahnya tambah Yang Berhormat, titah baginda itu membolehkan dewan yang mulia ini antara lain membincangkan usaha senegara dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 yang sudah setentunya kejayaannya bergantung kepada penglibatan menyeluruh, usaha gigih dan kerjasama berterusan daripada semua pihak dan lapisan masyarakat untuk bertindak dan bersatu.
Di kesempatan ini, Yang Berhormat juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri serta Ahli-Ahli Yang Berhormat atas pembentangan dan perbahasan yang bernas terhadap empat usul penting dalam Mesyuarat Kedua Majlis Mesyuarat Negara Ke-21 ini.
“Kementerian Pendidikan menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap keempat-empat Usul ini. Usul-Usul tersebut mencerminkan aspirasi kolektif ke arah kemajuan negara yang berpaksikan nilai, daya saing dan kesejahteraan rakyat,” ujar Yang Berhormat.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




