BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Kementerian Kesihatan sangat peka terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi.
Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) berperanan sebagai hospital rujukan utama negara, di peringkat ‘tertiary’ bagi seluruh penduduk di Negara Brunei Darussalam (NBD) semenjak 1984 lagi.
Bagi terus memastikan hospital dapat menampung keperluan semasa dan masa hadapan, kementerian telah mengenal pasti dan sedang melaksanakan beberapa pelan tindakan bersifat interim.
Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof dalam pertanyaan jawab lisan mengenai apakah langkah-langkah strategik dan pelan tindakan dalam jangka interim, sementara menunggu bangunan tambahan baharu Hospital RIPAS yang menghadapi kekurangan katil dalam menempatkan pesakit-pesakit kerana ia adalah penting dalam menangani cabaran kritikal dan memastikan pesakit menerima penjagaan kesihatan yang optimum dengan serta merta di samping menghindarkan kemudaratan memandangkan Hospital RIPAS menghadapi kekurangan katil dalam menempatkan pesakit-pesakit.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan langkah-langkah yang dikenal pasti termasuk pertama, iaitu Pemantapan Proses Discaj Pesakit, iaitu proses discaj pesakit telah dikemas kini untuk memastikan proses aliran pesakit yang lebih cekap dan mengurangkan tekanan ke atas kadar pengisian katil.
Antara cabaran tersebut kata Yang Berhormat ialah pengurusan pesakit yang tidak dapat discaj disebabkan hal-hal bukan perubatan seperti keluarga pesakit belum bersedia untuk membawa pesakit balik.
Kedua tambah Yang Berhormat, iaitu Pemindahan Long-Stayers, iaitu pesakit yang sudah boleh discaj tetapi masih mendiami katil, dikategorikan sebagai ‘long-stayers’, akan dipindahkan ke Bangunan National Isolation Centre Extension (NICE) bagi mengosongkan katil untuk kes-kes baharu.
Pusat ini kata Yang Berhormat, sedang diubah suai untuk menampung dan menepati keperluan ‘long-stayers’. Dalam beberapa kes, pesakit dianggap sebagai terabai atau ditinggalkan, dan memerlukan campur tangan sosial serta penyelarasan dengan agensi-agensi kebajikan.
Di samping itu jelas Yang Berhormat lagi, sebagai langkah jangka pendek sementara menunggu siapnya bangunan tambahan Hospital RIPAS di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN12), Kementerian Kesihatan telah melaksanakan strategi ‘decanting’ pesakit ‘long-stayers’.
“Tujuan utama langkah ini ialah untuk mengosongkan katil dan menambah kapasiti katil, khususnya bagi pesakit ‘acute’ yang memerlukan rawatan segera dan intensif.
“Pesakit-pesakit tersebut akan dipindahkan secara berperingkat ke fasiliti kesihatan lain yang bersesuaian, seperti Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, tanpa menjejaskan perkhidmatan hospital tersebut,” ujar Yang Berhormat pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat juga mengongsikan langkah ketiga, iaitu Mengemas Kini Pelan Induk Sistem, Infrastruktur Kesihatan Negara Brunei Darussalam. Berdasarkan pelan yang terdahulu, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan kajian semula terhadap pelan tersebut agar ia lebih responsif dan relevan dengan keperluan semasa.
Ini jelas Yang Berhormat termasuk penambahbaikan kemudahan sedia ada dan pelaksanaan langkah-langkah interim bagi meningkatkan kecekapan penggunaan fasiliti kesihatan khususnya di Hospital RIPAS.
Antara inisiatif dari Kementerian Kesihatan kata Yang Berhormat termasuk pengukuhan infrastruktur dan pembangunan fasiliti, yang termasuk pembinaan blok hospital baharu dengan kapasiti 500 katil yang melibatkan peruntukan sebanyak BND120 juta di bawah RKN12.
“Sebagai langkah strategik agar penggunaan ruang Hospital RIPAS di tahap optimum, kementerian juga sedang merancang bagi pemindahan perkhidmatan Oftalmologi ke lokasi lain yang lebih sesuai.
“Ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan dan membolehkan ruang sedia ada bagi perkhidmatan yang lebih kritikal khususnya bagi kes-kes ‘acute’,” ujar Yang Berhormat lagi.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




