BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin dalam perbahasan usul penangguhan pada hari terakhir Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini telah menumpukan beberapa teras utama yang telah dibangkitkan sepanjang persidangan berkenaan.
Yang Berhormat menjelaskan pertama, keperluan meningkatkan kecemerlangan Perkhidmatan Awam (PA) sebagai barisan hadapan pembangunan negara, manakala kedua, keupayaan belia dan graduan bukan teknikal selaras dengan ‘blueprint’ pembangunan; dan ketiga, kelancaran ekosistem perniagaan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi inklusif.
Dalam sektor awam, Yang Berhormat menekankan bahawa kejayaan Wawasan Brunei 2035 amat bergantung kepada kecekapan dan intergriti PA sebagai barisan hadapan pembangunan negara.
Namun menurut Yang Berhormat, lebih separuh agensi kerajaan masih kekal pada tahap prestasi yang rendah, yang mana ia sesuatu yang memerlukan tindakan pemulihan segera.
Langkah ini jelas Yang Berhormat perlu disokong oleh audit bebas serta garis masa pelaksanaan yang jelas bagi memastikan mutu penyampaian PA benar-benar memenuhi harapan rakyat.
Dari segi kelestarian perniagaan, Yang Berhormat turut memberi penekanan kepada keperluan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif.
Menurut Yang Berhormat lagi, isu seperti kelewatan pelaksanaan projek, proses pensijilan halal yang memakan masa terlalu lama dan halangan birokrasi lain perlu diatasi segera. Langkah ini penting bagi memastikan potensi ekonomi negara dapat berkembang sepenuhnya tanpa terikat dengan kekangan prosedur yang melambatkan kemajuan.
“Dalam musim persidangan kali ini, kita telah diberi ruang yang lebih luas untuk membahaskan isu-isu negara serta ‘blueprint-blueprint’ yang menyokong matlamat Wawasan Brunei 2035 secara panjang lebar. Ini memberi peluang untuk membincangkan dan mendalami bukan sahaja cabaran yang dihadapi tetapi juga mencari penyelesaian yang realistik dan boleh dilaksanakan.
“Sesi ini telah membuktikan bahawa apabila ruang masa dan platform yang tepat disediakan, Ahli-ahli Yang Berhormat dapat mengemukakan pandangan yang lebih menyeluruh dan strategik demi kepentingan rakyat serta kemajuan negara,” ujar Yang Berhormat.
Dalam perbahasan Wawasan Brunei 2035, Yang Berhormat juga menyentuh bahawa kejayaan matlamat negara bukan sahaja bergantung kepada kekuatan sektor teknikal tetapi juga kepada keupayaan kita mengangkat potensi graduan bukan teknikal.
Tambah Yang Berhormat lagi, mereka mempunyai peranan besar dalam membentuk ekosistem ekonomi yang lebih bernilai tambah khususnya dalam bidang seperti ekonomi halal, pelancongan budaya, pendidikan dan ekonomi beretika.
Menyentuh mengenai pendekatan Whole of Nation pula, Yang Berhormat berkata pendekatan ini mestilah diamalkan secara menyeluruh bukan sekadar retorik atau slogan.
“Kejayaan Wawasan Brunei 2035 memerlukan penglibatan yang ikhlas dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Kita tidak boleh hanya ‘talk the talk’ tetapi wajib ‘walk the talk’ agar setiap dasar mencerminkan semangat kebersamaan dan nilai-nilai yang kita junjung bersama.
“Apabila semua terlibat dalam memberi input dalam membuat dasar dan keputusan, maka ada rasa kepunyaan dan tanggungjawab bersama (‘collective responsibility’).
“Kita perlu bergerak dari peringkat perancangan kepada pelaksanaan yang menyeluruh dan konsisten. Sudah tiba masanya kita bertanya dengan jujur, berapa banyak daripada pelan yang telah dirangka benar-benar sampai kepada rakyat?
“Dengan hanya lebih kurang sembilan tahun berbaki sebelum menjelang tahun 2035, nampak dan terasa bahawa masa bergerak dengan pantas. Pelan demi pelan telah dihasilkan untuk Wawasan Brunei 2035 dan pelbagai ‘blueprint’ strategik dibuat, namun rakyat tidak menilai pelan. Mereka memilih hasil yang boleh dirasai dan dilihat,” tegas Yang Berhormat.
Terdahulu dalam ucapan penangguhannya, Yang Berhormat menjelaskan, dengan penaiktarafan status dalam badan-badan seperti Inter-Parlimentary Union dan Commonwealth Parlimentary Association pada pemerhati kepada alih penuh adalah satu pengiktirafan antarabangsa terhadap kematangan institusi parlimen negara.
Perkembangan ini jelas Yang Berhormat juga mencerminkan kesungguhan Negara Brunei Darussalam untuk menyumbang secara bermakna dalam menangani cabaran global melalui pendekatan diplomasi parlimen yang berprinsip, inklusif dan konstruktif.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




