09.08.25 Gandakan usaha libatkan masyarakat dalam 1K1P

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Selaku pemimpin di peringkat akar umbi, khususnya dalam konteks Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK), MPMK merupakan platform rasmi yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memperkasakan penyertaan rakyat dalam pembangunan negara di peringkat mukim dan kampung.

Dalam kerangka ini, Penghulu dan Ketua Kampung bukan sahaja bertanggungjawab mendengar rintihan dan masalah penduduk, malah memainkan peranan sebagai pemudah cara (fasilitator) dalam merancang, melaksana dan memantau projek pembangunan dan kesejahteraan komuniti. Namun ia perlu sokongan dan dukungan yang berterusan dari agensi-agensi berkaitan.

Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas, semasa membahaskan usul penangguhan pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

MPMK, tambah Yang Berhormat, akan terus mempergiatkan usaha menggalakkan penglibatan penduduk dalam inisiatif seperti Projek Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

“Projek ini bertujuan meningkatkan pendapatan penduduk mukim dan kampung melalui penghasilan produk tempatan yang berkualiti. Seperti yang ditekankan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, MPMK bukan sahaja digalakkan menghasilkan produk seperti makanan kering dan kraf tangan, tetapi juga meneroka bidang peruncitan, perkhidmatan dan lain-lain perniagaan. Langkah ini penting bagi mengelak monopoli warga asing di kampung-kampung,” ujar Yang Berhormat.

Dengan kepimpinan yang cekap dan berwawasan, jelas Yang Berhormat, Penghulu dan Ketua Kampung mampu memastikan MPMK bukan sekadar forum perbincangan tetapi menjadi platform yang benar-benar berkesan dalam menjana pertumbuhan ekonomi mukim dan kampung, memperkukuh jati diri masyarakat serta memastikan kebajikan semua lapisan penduduk terus terpelihara selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI