09.08.25 Dukung usaha kenal pasti, menjaga tapak bersejarah

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Kementerian Pembangunan mendukung usaha sama dengan pihak-pihak berkepentingan dalam mengenal pasti lokasi yang mempunyai nilai sejarah atau warisan, mencadangkan kawalan guna tanah dan bangunan bagi tujuan pemeliharaan, serta memberikan cadangan pemulihan atau guna semula atau ‘adaptive reuse’, bagi bangunan-bangunan yang mempunyai nilai sejarah atau warisan.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa menjawab pertanyaan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat mengenai langkah kementerian dalam memastikan rumah atau kawasan penempatan lama yang bernilai sejarah tidak terpinggir dalam perancangan pembangunan bandar, termasuk dari segi penyelenggaraan asas dan pemetaan semula.

Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menjelaskan, mana-mana bangunan atau binaan yang dikenal pasti mempunyai nilai sejarah ada didaftarkan sebagai Monumen Purba dan Tapak Bersejarah di bawah Akta Barang-Barang Purbakala dan Harta Terpendam, 1967 dengan edisi semakan 1984, 1990, 2002, adalah dalam kawalan Jabatan Muzium-Muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

“Setelah permakluman Jabatan Perancang Bandar dan Desa akan membuat penyelarasan bersama Jabatan Muzium-Muzium mana-mana senarai yang diperlukan untuk diterapkan dalam pelan-pelan pembangunan peringkat bandar dan daerah, bagi kawasan atau bangunan yang dipelihara kepentingan sejarah atau warisan yang mempunyai kepentingan nilai sejarah atau warisan,” tambah Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI