BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Ogos. – Selaras dengan matlamat strategik 3 di dalam Pelan Strategik Kementerian Pembangunan 2024-2029 dan Local Business Development (LBD) circular bernombor 01/2019, satu inisiatif, iaitu Contractor Development Program (CDP) telah dilaksanakan bagi mendukung salah satu dari tiga elemen LBD, iaitu mendukung penyertaan pemilik syarikat tempatan.
Program ini menyediakan kursus dan taklimat yang berkaitan dengan industri pembinaan bertujuan memperkasa kapasiti peniaga tempatan sebagai salah satu usaha strategik bagi memperkasa dan meningkatkan kapasiti kontraktor tempatan, khususnya syarikat milik 100 peratus anak tempatan.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menyatakan perkara tersebut semasa pertanyaan jawab lisan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim mengenai perkembangan terkini mengenai pembentukan dasar LBD bagi melahirkan usahawan berjaya dan berdaya saing pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat, program ini disusun dalam dua sesi dan melibatkan 30 peserta setiap sesi. Para peserta telah mengikuti latihan yang dikendalikan oleh konsultan latihan tempatan yang dilantik yang memberikan kursus dan taklimat yang merangkumi modul teknikal, pengurusan dan keusahawanan oleh dua pakar pengurusan projek dari luar negara.
“Sesi pertama telah diadakan dari 2 hingga 12 Jun 2025 dan sesi kedua, iaitu taklimat pada 1 dan 2 Julai 2025 yang disampaikan oleh agensi-agensi tempatan seperti Jabatan Buruh, Biro Mencegah Rasuah, Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN), Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) dan juga Tabung Amanah Pekerja (TAP).
“Kandungan modul kursus yang dilaksanakan oleh dua pakar pengurusan projek dari luar negara ini meliputi tiga komponen utama, iaitu 1. Penguasaan terhadap pelan dan keupayaan membuat anggaran kos pembinaan secara tepat dan berstruktur; 2. Penerapan asas keusahawanan serta amalan pengurusan kewangan yang sistematik; dan 3. Kemahiran dalam pengurusan projek termasuk kefahaman terhadap terma dan syarat kontrak pembinaan,” terang Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, berdasarkan penilaian prestasi sebelum dan selepas latihan, peningkatan kecekapan peserta dalam modul-modul utama cukup memberangsangkan, sekali gus menunjukkan keberkesanan program ini sebagai platform pembangunan kapasiti.
Antara peningkatan yang direkodkan tambah Yang Berhormat termasuk Modul Pemahaman Pelan dan Anggaran Kerja : meningkat daripada 52 peratus kepada 68 peratus; Modul Keusahawanan dan Pengurusan Kewangan : meningkat daripada 40 peratus kepada 84 peratus; dan Modul Pengurusan Projek dan Pemahaman Kontrak : meningkat daripada 59 peratus kepada 74 peratus.
Di samping itu jelas Yang Berhormat lagi, sebanyak 84 peratus peserta memberikan maklum balas positif, menyatakan bahawa program ini telah berjaya meningkatkan tahap kefahaman teknikal, lebih keyakinan dalam pengurusan projek serta kesediaan mereka untuk menyertai dan bersaing dalam tender tawaran pembinaan kerajaan.
Sesi kedua bagi CDP ini tambah Yang Berhormat akan diteruskan bulan September ini di mana akan melibatkan latihan teknikal seperti memahami penyediaan dokumen tawaran dan tanggungjawab sebagai penyelaras keselamatan dalam meningkatkan kepatuhan keperluan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
“InsyaaAllah, kementerian juga akan menilai penambahbaikan terhadap inisiatif ini dari semasa ke semasa dan meluaskan skop latihan serta penyertaan.
“Keseluruhan inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuhkan kapasiti dan daya saing kontraktor tempatan dalam mempersiapkan mereka menyahut keperluan industri yang semakin kompleks dan berdaya saing, serta memastikan pelaksanaan dasar LBD kekal relevan dan konsisten dengan keperluan industri masa kini”, ujar Yang Berhormat.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




