Bandar Seri Begawan, Selasa, 9 Jun 2026 – Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara telah menerima Kunjungan Hormat daripada Tuan Yang Terutama Irfan Shakir Oglu Davudov, Duta Besar Republik Azerbaijan Yang Tidak Menetap ke Negara Brunei Darussalam. Majlis diadakan di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.
Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua pihak menekankan hubungan dua hala yang erat antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Azerbaijan, termasuk usaha memperkukuh hubungan diplomatik antara Majlis Mesyuarat Negara dan Milli Majlis Republik Azerbaijan sebagai langkah mengukuhkan persefahaman serta memperluaskan kerjasama legislatif kedua-dua negara. Kedua-dua pihak juga turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan landskap geopolitik semasa serta peluang untuk memperluaskan kerjasama dua hala dalam bidang-bidang utama seperti perdagangan dan sektor minyak dan gas.
Turut hadir semasa Kunjungan Hormat tersebut ialah Yang Mulia Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.




