BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 Oktober. – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, hari ini menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Eve Lubin.
Pertemuan berkenaan membincangkan isu-isu semasa termasuk lawatan dari Parlimen Republik Perancis pada tahun lalu yang berhasrat bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua dewan perundangan.
Perbincangan turut menyentuh mengenai inisiatif menubuhkan kumpulan persahabatan serta peranan penting Republik Perancis sebagai rakan dialog di persidangan AIPA sebagai pertubuhan yang dianggotai oleh parlimen-parlimen ASEAN.
Kedua-dua pihak juga berkongsi pandangan mengenai sistem perundangan masing-masing dan berharap dapat mempelajari antara satu sama lain melalui amalan terbaik serta lawatan pada masa hadapan.
Turut hadir semasa kunjungan hormat berkenaan ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.
(Sumber berita: Pelita Brunei)




