BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 Oktober. – Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) pagi tadi mengadakan Sesi Dialog bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bertempat di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, di sini.
Hadir ke sesi dialog tersebut ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KSSUP, Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan Setiausaha Tetap KSSUP, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim; Pengarah-pengarah Jabatan dan Ketua-ketua Bahagian serta pegawai-pegawai kanan KSSUP.
Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan menekankan kepentingan pendekatan Whole of Nation dalam usaha untuk terus memperkukuhkan sektor pelancongan Negara Brunei Darussalam (NBD).
Yang Berhormat seterusnya menyatakan bahawa pembangunan sektor pelancongan bukan sahaja tanggungjawab Jabatan Kemajuan Pelancongan, tetapi ia memerlukan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak, termasuk sektor awam dan swasta.
Semasa sesi tersebut, Yang Berhormat Ahli-ahli MMN telah diberikan penerangan mengenai pencapaian dan strategi serta inisiatif terkini Jabatan Kemajuan Pelancongan dalam membangunkan sektor pelancongan.
Inisiatif-inisiatif ini adalah sejajar dengan pelan hala tuju industri pelancongan NBD bagi tahun 2024-2035 bagi meningkatkan daya saing serta menarik lebih banyak pelancong, sambil memelihara warisan budaya dan semula jadi selaras dengan prinsip-prinsip kelestarian, serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Taklimat telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Kemajuan Pelancongan, Dayang Salinah binti Haji Mohd Salleh.
Sesi Dialog diikuti dengan sesi perbincangan dan soal jawab.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




