07.08.25 Pelaksanaan konsep bebas cukai belum sesuai dilaksanakan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menjelaskan seperti di negara-negara lain, insentif bebas cukai ini lazimnya diberikan kepada barangan atau perkhidmatan yang ada dikenakan Goods and Services Tax (GST) atau Value-Added Tax (VAT) atau Sales Tax.

Tujuan utama pelaksanaan bebas cukai, kongsi Yang Berhormat lagi, adalah untuk mengurangkan beban kos kepada kumpulan sasaran tertentu, khususnya golongan berpendapatan rendah atau kurang berkemampuan dan sektor yang sensitif dari segi sosioekonomi seperti kesihatan dan pendidikan.

Selain itu, terang Yang Berhormat, ia turut berperanan sebagai kaedah pengecualian cukai kepada pelancong-pelancong yang datang ke negara tersebut bagi menggalakkan perbelanjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.

“Seperti yang sedia maklum, pada masa ini, cukai secara tidak langsung (indirect tax) yang ada dikenakan ke atas entiti-entiti perniagaan di negara ini hanya merangkumi duti setem, cukai eksais / kastam dan cukai bangunan.

“Manakala GST atau VAT belum ada dikenakan di negara ini. Sehubungan itu, pelaksanaan konsep bebas cukai seperti ini mungkin belum sesuai untuk dilaksanakan buat masa ini,” jelas Yang Berhormat semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai pelaksanaan ‘Bulan Bebas Cukai’ pada musim cuti dan bonus bulan Disember sehingga Januari.

Pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini, Yang Berhormat seterusnya menyatakan walau bagaimanapun, sepertimana yang kita sedia maklum, pihak kerajaan telah pun melaksanakan beberapa inisiatif-inisiatif lain bagi menggalakkan aktiviti membeli-belah di negara ini, di samping jua untuk membantu mengurangkan bebanan kos kepada rakyat.

Ini tambah Yang Berhormat, termasuk antaranya dengan mengadakan jualan besar-besaran atau ‘Salebration’ pada musim-musim tertentu, dengan kerjasama entiti-entiti perniagaan yang menawarkan potongan harga barangan yang menarik.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI