BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis menyatakan penghargaan dan mengambil maklum terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Ahli-ahli MMN.
Menurut Yang Berhormat, banyak isu yang telah diketengahkan menyentuh pelbagai aspek yang penting dan sebahagian besarnya telahpun diberikan penjelasan terperinci oleh rakan-rakan sejawat beliau. Namun demikian, beliau menekankan terdapat lima perkara penting yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli MMN yang kesemuanya berkait rapat dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.
“Kaola menyambut baik perkara-perkara ini,” ujar Yang Berhormat, sambil merumuskan kelima-lima perkara tersebut seperti berikut:
Pertama, mengenai usaha kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui pemantapan pelan strategik seperti yang digariskan dalam Brunei Darussalam Economic Blueprint.
Kedua, penekanan terhadap transformasi digital yang bertujuan membentuk ekonomi yang lebih dinamik, kompetitif serta mesra rakyat dan penduduk.
Ketiga, keperluan untuk menangani defisit fiskal kerajaan secara serius, dengan menumpukan usaha ke arah mengimbangi kedudukan fiskal negara. Ini turut merangkumi pengurusan penyediaan dan penggunaan peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Keempat, langkah-langkah bagi mempertingkatkan ekosistem perniagaan supaya lebih kondusif dan mesra pelanggan (business-friendly), sejajar dengan aspirasi untuk menarik lebih banyak pelaburan serta menggalakkan pertumbuhan sektor swasta.
Kelima, penekanan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.
Yang Berhormat menegaskan bahawa kelima-lima perkara ini adalah penting dalam memastikan hala tuju negara selaras dengan visi dan matlamat Wawasan Brunei 2035 ke arah sebuah negara yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan mempunyai taraf kehidupan yang berkualiti.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




