07.08.25 Langkah penambahbaikan proses pemohonan skim bantuan kebajikan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. – Beberapa perkara yang menyentuh isu-isu rakyat yang memerlukan perhatian sewajarnya turut disentuh pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini,

Menurut Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai, salah satu perkara yang sering dibangkitkan ialah berkenaan dengan permohonan skim bantuan kebajikan, khususnya kepada golongan asnaf.

Proses permohonan yang sedia ada masih dianggap lambat dan membebankan, terutama apabila pemohon terpaksa mengulangi pengisian borang walaupun data mereka telah tersedia dalam sistem.

Oleh yang demikian, ke arah penambahbaikan, Yang Berhormat dalam ucapan penangguhannya mencadangkan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan, antaranya ialah pengenalan Kad Keahlian Skim Kebajikan Negara (SKN). Pemohon yang telah berdaftar boleh diberikan kad keahlian yang mengandungi maklumat asas mereka, sekali gus memudahkan proses pengesahan identiti dan rekod permohonan terdahulu.

Kedua, tambah Yang Berhormat, Sistem Digital Bersepadu dan Mesra Pengguna. Naik taraf sistem permohonan bantuan ke arah platform digital yang lebih efisien dan mesra pengguna, dengan kemudahan ‘auto-fill’ untuk data sedia ada serta pengemaskinian maklumat secara berkala.

Yang Berhormat turut menyentuh mengenai tempoh pembaharuan awal di mana pembaharuan permohonan boleh dibuka seawal tiga bulan sebelum bantuan tamat, supaya pemprosesan dapat dilakukan lebih awal tanpa mengganggu kesinambungan bantuan kepada penerima.

Selain itu, Yang Berhormat juga mencadangkan pemantauan dan penilaian berkala iaitu wujudkan pasukan pemantau khas bagi menilai keberkesanan proses permohonan dan mengenal pasti sebarang kelewatan atau halangan di peringkat pelaksanaan serta Khidmat Sokongan dan Bantuan Pengguna iaitu penyediaan saluran komunikasi seperti talian khas atau pusat khidmat pelanggan bagi membantu pemohon yang mengalami kesulitan ketika mengisi permohonan secara dalam talian.

Menurut Yang Berhormat lagi, program-program bimbingan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan penerima bantuan kebajikan wajar sentiasa ditambah baik dari segi keberkesanannya. Ini penting agar mereka bukan sahaja bergantung kepada bantuan semata-mata, tetapi mampu mencapai kejayaan yang berkekalan dan berdikari dalam jangka panjang.

Antara program yang boleh dipertimbangkan ialah program keusahawanan sosial; latihan kemahiran dan vokasional; program literasi kewangan dan mentor rakan sebaya; program transformasi kehidupan; program penempatan pekerjaan bersasar dan inisiatif ‘Graduasi dari Bantuan’ iaitu satu sistem di mana penerima bantuan dipandu secara berperingkat untuk keluar daripada kebergantungan bantuan, dengan penilaian berkala terhadap kemajuan mereka. Sesungguhnya, usaha-usaha seperti ini adalah sejajar dengan aspirasi utama Social Blueprint Negara Brunei Darussalam, iaitu ke arah mewujudkan rakyat yang mandiri, berdaya tahan dan siap siaga masa depan serta mampu keluar daripada kebergantungan kepada bantuan semata-mata.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI