07.08.25 Kongsi inisiatif bagi memperhebat pelancongan domestik

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. – Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin mengongsikan antara inisiatif untuk memperhebat pelancongan domestik ialah penjenamaan semula Kenali Negara Kitani (KNK) dengan lebih 50 pakej budaya, alam semula jadi dan pelayaran sungai bagi memacu pelancongan domestik.

Ini tambah Yang Berhormat, kebanyakannya melibatkan pelancongan berteraskan komuniti, pendidikan, alam sekitar dan juga pengembaraan. Apa yang membanggakan di dalam program KNK ini ialah banyak penglibatan anak-anak kampung melalui Majlis Perundingan Kampung (MPK) atau Majlis Perundingan Mukim (MPM).

“Kementerian juga seperti tahun-tahun lepas mengungkayahkan lagi inisiatif Brunei Gastronomy Festival, di mana festival ini memberi kesempatan syarikat-syarikat penyaji makanan dan restoran untuk mempromosikan beraneka jenis makanan terutamanya makanan Brunei.

“Inisiatif Brunei December Festival yang diungkayahkan setiap tahun dengan penyediaan promosi-promosi khas pakej-pakej pelancongan adalah disasarkan bukan saja untuk pelancongan luar negeri malah juga untuk pelancong domestik bagi menggalakkan mereka melancong dalam negeri dan menghayati keindahan dalam negeri ini,” terang Yang Berhormat semasa menjawab pertanyaan jawab lisan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Jelas Yang Berhormat, pihak kementerian melihat tahun 2026-2027 sebagai tempoh penting dan bersejarah untuk negara bersempena Sambutan Hari Keputeraan Ke-80 dan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Sehubungan itu, tambah Yang Berhormat, kementerian sedang merangka pelan bersepadu untuk menjadikan tempoh ini sebagai pemangkin transformasi sektor pelancongan nasional.

Ada beberapa inisiatif yang dikira ‘impactful’ yang sedang dipertimbangkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan. Kongsi Yang Berhormat, inisiatif-inisiatif ini yang akan menjadi platform strategik bagi memperkukuh jenama Brunei sebagai destinasi pelancongan eksklusif, lestari dan berbudaya tinggi; Menonjolkan identiti kebangsaan dan kejayaan negara dan memacu pelancongan domestik dan antarabangsa secara inklusif dan mampan.

Dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif perkembangan pelancongan, jelas Yang Berhormat, tindakan telah disusun secara saling melengkapi, dengan memfokuskan kepada perancangan awal dan penyelarasan antara agensi melalui jawatankuasa pandu dan teknikal; Pelaksanaan program seperti yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Ahli MMN seperti pertandingan ‘jingle’ / slogan kebangsaan, pembangunan pakej pelancongan domestik berbundel dan penglibatan MSME serta masyarakat akar umbi; Pelaksanaan acara utama seperti Brunei December Festival, Brunei Gastronomy Festival dan MYCE untuk merancakkan ekonomi tempatan serta kerjasama dengan rakan industri dalam dan luar negara, termasuk agensi pelancongan, syarikat penerbangan, media dan pempengaruh.

“Kementerian juga turut membantu pengusaha dengan menyediakan platform promosi percuma dalam pelbagai bentuk, termasuk dalam media cetak, digital dan ‘fam trips’, bukan sahaja untuk ejen tetapi juga sepanjang rantaian nilai pelancongan. Pendekatan ini selaras dengan prinsip Whole of Nation dan matlamat Wawasan Brunei 2035, iaitu memastikan manfaat pelancongan bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan tetapi juga memperkukuh perpaduan masyarakat dan kebanggaan negara,” ujar Yang Berhormat.

Dengan perancangan yang teliti dan sokongan padu daripada semua pihak, Yang Berhormat menyatakan, inisiatif-inisiatif perkembangan pelancongan bukan sahaja akan menjadi pemangkin kepada transformasi sektor pelancongan, malah turut berfungsi sebagai platform strategik untuk mengetengahkan pencapaian dan kemajuan pelbagai sektor di negara ini.

Ia juga merupakan peluang emas untuk memanfaatkan potensi ekonomi melalui pelbagai program seperti jualan cenderamata tempatan, penganjuran acara berskala besar dan aktiviti komersial lain yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan perusahaan tempatan serta kebanggaan negara.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI