06.08.26 FCP Fasa Kedua Fokus Impak Kepada Rakyat

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos 2026 – Fiscal Consolidation Program (FCP) Fasa Pertama telah berjalan selama lima tahun bermula Tahun Kewangan 2020/2021 hingga 2024/2025.

Sejumlah 86 inisiatif telah dilaksanakan dan 22 daripadanya dilaporkan selesai, manakala selebihnya telah dibawa ke FCP Fasa Kedua.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam pada hari ketiga Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat Menteri Kewangan II menerangkan, sembilan inisiatif telah menyumbang kepada penjimatan kerajaan yang dianggarkan berjumlah BND34.7 juta secara keseluruhan.

Antaranya adalah inisiatif Kementerian Pertahanan bagi peralihan daripada catuan makanan kepada perkhidmatan katering yang dapat menghasilkan penjimatan perbelanjaan yang dianggarkan berjumlah BND11.6 juta.

Dengan peralihan tersebut, Yang Berhormat menjelaskan manfaat paling ketara adalah pengurangan pembaziran makanan dan penyediaan bekalan makanan yang lebih tepat mengikut keperluan sebenar berbanding catuan makanan konvensional.

Selain itu, IT Central Procurement yang dilaksanakan oleh Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi turut menyumbangkan penjimatan kepada kerajaan berjumlah BND16 juta, ujar Yang Berhormat lagi.

“Lima inisiatif turut menyumbang peningkatan hasil. Antaranya adalah inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan seperti penyewaan ruang tempat di Bangunan Kompleks Bahagian Khidmat Bakti Negara, Daerah Temburong dan penyewaan ruang gim di Kompleks Sukan Mumong, Kuala Belait yang dianggarkan sejumlah BND50,000 setahun.

“Selain itu, Projek Nomborku iaitu sebuah platform dalam talian yang membolehkan orang ramai mengikuti Tawaran Tertutup atau ‘Click and Bid’ dan Tawaran Terbuka atau ‘Click and Buy’ bagi tanda pengenalan kenderaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat, dijangka akan menjana hasil pendapatan BND1 juta setahun.

“Inisiatif lain termasuklah ‘outsourcing’ Perkhidmatan Perubatan Buah Pinggang khususnya rawatan dialisis melalui kolaborasi dengan Jerudong Park Medical Centre yang bertujuan memperbaiki tempoh masa menunggu bagi pesakit-pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis.

“Terdapat juga inisiatif pembukaan Ruang Inkubator Keusahawanan di Pusat Pembangunan Belia serta di Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang menyediakan platform kepada para usahawan belia dan komuniti untuk mengembangkan perniagaan.

“Seterusnya, Jabatan Pengangkutan Darat juga telah memperkenalkan perkhidmatan atas talian bagi pembaharuan Lesen Memandu dan Lesen Kenderaan melalui aplikasi TransportBN dan portal GOV.BN bagi memudah cara penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai,” terang Yang Berhormat lagi.

Mengenai FCP Fasa Kedua, Yang Berhormat menjelaskan telah bermula pada Tahun Kewangan 2025/2026 hingga Tahun Kewangan 2029/2030 dengan 58 inisiatif telah dirancang untuk dilaksanakan oleh kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.

Antara perkembangan terkini yang telah selesai dilaksanakan pada tahun pertama Fasa Kedua ini termasuklah pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos kepada PosBru Sendirian Berhad pada 1 Januari 2026 lalu, jelas Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat, ini merupakan satu langkah ke arah memperkukuh tadbir urus dan kecekapan perkhidmatan di mana perkhidmatan pos dapat diurus secara lebih fleksibel, telus dan berdaya saing, dengan ruang untuk mempelbagaikan perkhidmatan dan sumber hasil.

Daripada inisiatif pengkorporatan ini, Yang Berhormat seterusnya mengongsikan bahawa sebanyak 50 pegawai dan kakitangan kerajaan telah diserapkan kepada PosBru Sendirian Berhad, menghasilkan penjimatan kerajaan yang keseluruhannya berjumlah BND1.1 juta setahun.

Yang Berhormat menerangkan bahawa kerajaan juga memperkenalkan Skim Tabungan Anak Damit yang menggantikan pemberian lampin pakai buang dan pam susu kepada anak-anak damit yang lahir bermula 1 Mac 2026.

“Skim ini merupakan bantuan sosial bagi kanak-kanak yang baru dilahirkan dengan status kerakyatan tertentu dan turut bertujuan memupuk budaya menabung.

“Semenjak diperkenalkan, setakat 30 Jun 2026, sebanyak 742 akaun baharu anak damit telah dibukakan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak BND178,000,” ujar Yang Berhormat.

Menutup penjelasannya, Yang Berhormat menegaskan bahawa Kementerian Kewangan bersama kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan serta agensi-agensi berkepentingan akan terus memastikan pelaksanaan FCP Fasa Kedua memberi tumpuan kepada impak yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 ke arah sebuah negara yang maju dan makmur.

(sumber berita: Pelita Brunei ; sumber gambar: Info Foto, Jbt Penerangan)

BERITA TERKINI