BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh telah mengongsikan beberapa pencapaian setelah hampir dua dekad perjalanan menuju aspirasi bagi mencapai Matlamat 1 melalui perlaksanaan Sistem Pendidikan Abad Ke-21 (SPN21).
Berucap pada perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 pada hari ketiga Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pencapaian pertama yang dikongsikan ialah Pencapaian Akademik iaitu merujuk kepada soalan Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman pada Isnin, 4 Ogos yang lalu mengenai dengan pencapaian pelajar.
Hasil dapatan analisis dari gabungan 4 penilaian kemahiran pelajar atau ‘psychometric assessments’, iaitu The National Study of Student Competencies in Mathematics and English (NSSCME) yang dibuat pada tahun 2008, NASC (National Assessment of Student Competencies) 2014, Student Assessment Tracker (SAT) 2018 dan Student Learning Survey (SLS) daripada tahun 2021 hingga tahun 2024 kata Yang Berhormat, telah menunjukkan prestasi kemahiran pelajar meningkat dari tahun 2008 hingga tahun 2024 bagi domain literasi bahasa Inggeris.
Peningkatan ini amat ketara, jelas Yang Berhormat dari 59 peratus pelajar tahun 4 mencapai tahap minima kemahiran atau Basic Literacy Skills pada tahun 2008, peratus ini telah meningkat kepada 99 peratus pada tahun 2024.
“Yang lebih menggembirakan, jumlah yang berada di tahap Independent Readers juga meningkat dari 4 peratus pada tahun 2008 menjadi 44 peratus pada tahun 2024. Bagi pelajar Tahun 6, juga menunjukkan peningkatan kemahiran pelajar pada tahap Emerging Independent Readers dan Independent Readers dari 57 peratus pada tahun 2008 kepada 99 peratus pada tahun 2024,” terang Yang Berhormat.
Disamping itu, kata Yang Berhormat, analisis data juga mendapati korelasi yang tinggi antara data-data penilaian psikometrik ini dengan prestasi pelajar dalam PISA 2018 dan PISA 2022.
“Triangulasi data ini telah memperkukuhkan lagi validasi temuan penilaian prestasi pelajar,” jelas Yang Berhormat.
Tambah Yang Berhormat, kelebihan utama menggunakan penilaian-penilaian psikometrik ini ialah data yang diperoleh dapat dibandingkan kerana ia menggunakan beberapa soalan yang sama atau ‘linked items’, serta menggunakan skala tahap kemahiran yang sama.
Selain itu, ujar Yang Berhormat, data ini membolehkan Kementerian Pendidikan menggunakannya untuk penjejakan prestasi pelajar secara ‘longitudinal’.
“Di kesempatan ini, kaola / saya bagi pihak Kementerian Pendidikan sangat menghargai dan berterima kasih kepada mantan-mantan pemimpin Kementerian Pendidikan yang terdahulu, yang telah menerajui satu sistem penilaian yang sangat relevan sehingga ke hari ini untuk menilai keberkesanan perlaksanaan sistem pendidikan,” kata Yang Berhormat.
Lebih satu dekad berlalu, kata Yang Berhormat, proses penilaian ini ternyata dapat membantu menilai sejauh mana usaha yang selama ini dijalankan berjaya atau sebaliknya.
Bagi pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam pula, memang terdapat penurunan peratus pelajar dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR) yang mendapat Gred A-C pada tahun 2024, ujar Yang Berhormat.
Analisis menggunakan Rasch Model mendapati pelajar yang menduduki PSR pada tahun 2024 merasakan ‘items’ dalam kertas soalan peperiksaan adalah mencabar.
Interpretasi kepada dapatan ini, kata Yang Berhormat adalah sama ada ‘items’ tersebut melebihi tahap pembelajaran, atau pelajar belum mencapai kompetensi yang dijangkakan, atau pelajar merasakan kesukaran dalam memahami soalan.
Bagi peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’-Level dan IGCSE, pencapaian jumlah pelajar calon sekolah memperolehi sekurang-kurangnya 5- ‘O’ Level menunjukkan trend peningkatan sebanyak 0.33 peratus, iaitu daripada 44.69 peratus pada tahun 2023 kepada 45.02 peratus pada tahun 2024, ujar Yang Berhormat.
Bagi peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘A’-level, jumlah pelajar calon sekolah yang memperoleh sekurang-kurangnya 3 ‘A’-Level ke atas menunjukkan tren peningkatan sebanyak 7.93 peratus, iaitu daripada 67.83 peratus pada tahun 2023 kepada 75.76 peratus pada tahun 2024.
Pencapaian Kedua: University Ranking, kata Yang Berhormat, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) masing-masing berada dalam kedudukan ke-75 dan ke-134 dalam QS Asia University Ranking 2025.
Manakala, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berada di kedudukan 201-300 dalam World University Ranking for Innovation (WURI) 2025.
“Pencapaian Ketiga iaitu Pencapaian Sains dan Inovasi Pelajar di Peringkat Serantau dan Antarabangsa. Beberapa pencapaian inovasi di peringkat serantau dan antarabangsa melalui program-program pertandingan yang telah diraih oleh pelajar-pelajar, antaranya: Anugerah Brunei ICT Award (BICTA); Anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA); Anugerah Crown Prince Creative, Innovative Product and Technological Advancement (CIPTA); Anugerah WorldSkills dan Shell Eco-marathon.
“Pencapaian Keempat iaitu Kadar Kemasukan Ke-Peringkat Pasca Menengah. Pencapaian bagi kemasukan ke peringkat pasca menengah adalah meningkat dari tahun 2011 ke tahun 2024 iaitu sebanyak 41.1 peratus dari 68.8 peratus hingga 109.9 peratus.
“Kelima iaitu Tahap Kepuasan Majikan. Kajian Kepuasan Majikan bagi graduan pengajian tinggi menunjukkan kadar yang memuaskan pada tahun 2023 iaitu 80.2 peratus,” jelas Yang Berhormat lagi.
Pencapaian Keenam pula menurut Yang Berhormat iaitu Pengiktirafan Penghasilan Akademik Antarabangsa Program akademik dan fakulti-fakulti turut diperakui oleh badan-badan antarabangsa seperti Coursera, ABET, ACCA, AACSB dan EFMD manakala beberapa tenaga akademik telah diiktiraf sebagai penyelidik dan saintis teratas di dunia dan memenangi berbagai anugerah di peringkat global.
Terdapat juga kolaborasi dalam penyelidikan bersama institusi-institusi terkemuka, ujar Yang Berhormat.
Penghasilan keseluruhan penerbitan akademik di peringkat pengajian tinggi setakat Mac 2024 juga telah merekodkan sebanyak 9,859 penerbitan, dengan petikan (citation) berjumlah 124,120, terang Yang Berhormat.
Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei




