06.08.25 Meningkatkan produktiviti dalam pelbagai sektor

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. – Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) secara berterusan menyokong ke arah mencapai matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035 melalui pelbagai inisiatif strategik yang tertumpu kepada peningkatan produktiviti dalam sektor utama dan pelancongan; kepelbagaian ekonomi, dan pembangunan yang mampan.

Ini termasuk penerapan teknologi moden, pengukuhan kapasiti pengeluaran dan pencarian pelaburan asing.

Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menggariskan perkara itu dalam perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 yang mencakupi pelaksanaan inisiatif serta perancangan strategik kementerian dalam menyokong Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat, inisiatif tersebut melibatkan beberapa bidang penting termasuk sektor pertanian dengan usaha kementerian berkenaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan domestik melalui penerapan teknologi pertanian moden seperti pertanian pintar dan hidroponik, di samping menggalakkan amalan pertanian yang mampan.

“Matlamat utama adalah untuk mengukuhkan sekuriti makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada import serta menggalakkan eksport,” jelas Yang Berhormat.

Dalam sektor perikanan pula kata Yang Berhormat, tumpuan diberikan kepada peningkatan hasil akuakultur dan pemprosesan melalui kaedah yang mampan, pengurusan sumber perikanan yang berkesan, dan pembangunan industri hiliran, yang merangkumi penggalakan penternakan ikan dalam sangkar dan udang secara komersial.

Manakala, sektor perhutanan diurus secara mampan untuk memastikan pemuliharaan biodiversiti dan sumber hutan, sambil menerokai potensi ekonomi melalui produk hutan bukan berasaskan kayu, ‘carbon trading’ dan ekopelancongan.

“Di samping itu, kementerian juga memainkan peranan penting dalam memajukan sektor pelancongan. Ini termasuk pembangunan produk pelancongan baharu yang menarik, seperti pelancongan berasaskan komuniti, eko pelancongan, ‘wellness’ dan pelancongan pengembaraan serta peningkatan kualiti perkhidmatan pelancongan. Usaha promosi di peringkat antarabangsa juga secara intensif dilaksanakan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Negara Brunei Darussalam,” jelas Yang Berhormat.

Kementerian juga tambahnya, menjalin kerjasama yang erat dengan pihak berkepentingan lain, termasuk sektor swasta dan institusi penyelidikan untuk memastikan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini berlangsung dengan lancar dan berkesan.

“Inisiatif, strategi dan program-program dalam meningkatkan dan memperkukuhkan industri-industri ini telah kaola kongsikan secara terperinci dalam Ulasan dan Kenyataan kaola semasa permesyuaratan musim pertama tahun ini, di mana kesemua inisiatif ini adalah sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk mencapai ekonomi yang dinamik dan mampan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Brunei,” ujar Yang Berhormat.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI