06.08.25 Memperkukuhkan ekosistem digital, jana peningkatan daya inovasi

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha berkata, kejayaan pelaksanaan pelan-pelan ‘blueprints’ tidak hanya bergantung kepada pihak kerajaan semata-mata, tetapi turut memerlukan kerjasama erat daripada sektor swasta, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat secara keseluruhannya.

Setiap pihak, ujar Yang Berhormat, memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan kapasiti, inovasi, dan keberkesanan dasar, agar kita dapat bersama-sama membina masa depan yang seimbang dan berdaya tahan.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyatakan perkara tersebut semasa membentangkan perbahasan menyokong usul Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Yang Berhormat menjelaskan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) turut memainkan peranan yang menyeluruh, termasuk memberi sokongan kepada pelbagai sektor antara lain seperti pembangunan kapasiti melalui inisiatif Manpower Industry Steering Committee (MISC), mempertingkatkan ekosistem digital, pembangunan sosial melalui aspek ‘connectivity’ dan ‘mobility’ serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dari segi penyediaan perkhidmatan dan kemudahan logistik.

Sehubungan itu, dalam mengukuhkan lagi usaha-usaha ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035, Yang Berhormat mengongsikan beberapa perkara indikatif mengenai sumbangan MTIC ke arah mendukung matlamat-matlamat yang dihasratkan menjelang tahun 2035.

Menurut Yang Berhormat, salah satu daripadanya adalah bermula dengan Rancangan Kemajuan Negara (RKN), dengan merujuk kepada enam teras yang menjadi hala tuju kepada penyediaan program dan projek di bawah RKN12, yang mana MTIC turut memainkan peranan penting dalam mendukung tiga teras yang berkaitan, iaitu Teras 4 – Mengukuhkan Keselamatan Negara dan Kesejahteraan Rakyat Yang Berdaya Tahan; Teras 5 – Meningkatkan Sumbangan Sektor Bukan Minyak dan Gas Kepada Ekonomi Negara; dan Teras 6 – Mengukuhkan Pengurusan Kerajaan Bagi Pentadbiran Awam Yang Efisien dan Kondusif.

Berhubung dengan itu tambah Yang Berhormat, MTIC mempunyai sejumlah 21 projek di bawah RKN12 yang menjurus kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan penambahbaikan kesejahteraan rakyat.
Ini juga termasuk inisiatif-inisiatif berkaitan dengan transformasi digital yang akan menyumbang kepada peningkatan daya inovasi serta tahap produktiviti melalui penggunaan dan peralihan kepada digital.

(Sumber berita dan gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI